KUALA LUMPUR: Kunjungan Menteri Luar New Zealand, Nanaia Mahuta ke Muzium Seni Kraf Orang Asli membuka mata pemimpin itu tentang keunikan seni asli warisan berharga negara.
Mahuta yang juga suku kaum Orang Asli Maori, sudi meluangkan kira-kira 30 minit di muzium yang terletak di Taman Botanik, Tasik Negara, di sini, pada Selasa.
“Paling mencuri tumpuan Mahuta sepanjang lawatan itu adalah persembahan tarian Orang Asli Mahmeri,” demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Kunjungan itu diiringi Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Sapiah Mohd Noor, pegawai Jabatan Muzium Negara, Wisma Putra dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar, (KPLB).
Turut serta, Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia, Pam Chong Dunn.
Kunjungan Mahuta ke muzium itu juga antara rangka lawatan rasmi ke negara ini sempena sambutan Hari Orang Asli Sedunia 2022.
Ia merupakan anjuran bersama Jabatan Muzium Negara, JAKOA dan Wisma Putra.
Terdahulu, Mahuta mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari ke Malaysia dari 6 hingga 9 Ogos.
Mahuta turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid di Putrajaya.
Kedua-dua Menteri itu bertukar-tukar pandangan selain berkongsi pengalaman negara masing-masing dalam pengurusan, pembangunan dan kebajikan Orang Asli.