HomeBeritaLembaga Angkasa Malaysia mahu bincang dengan China

Lembaga Angkasa Malaysia mahu bincang dengan China

KUALA LUMPUR: Malaysia sedia melaksanakan Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 (Akta 834) melalui kerjasama Lembaga Angkasa dengan China.

Ia berikutan, China dijadual melancarkan roket keempat Long March pada Oktober ini, kerana negara itu memerlukan tiga pelancaran bagi menyediakan Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata Lembaga Angkasa Malaysia akan dilancarkan sepenuhnya pada awal 2023 bagi menguatkuasakan Akta 834 yang diwartakan pada 25 Februari lalu.

Justeru, kerajaan perlu melihat kepentingan pelaksanaan Akta 834 berkenaan berkaitan peraturan dan tanggungjawab kepada pelancar sekiranya berlaku kemalangan.

“Kita telah pun membawa Lembaga Angkasa ini untuk melihat bagaimana peluang dan perkara yang mungkin akan berlaku, di’notified’ (maklum) kepada pihak pelancar Long March 5B selepas ini dengan China.

“Dengan adanya maklumat tersebut, kita akan minta supaya boleh ‘track’ (jejak) di mana (roket) dilancar, di mana orbit, apa, bila, tenaga digunakan untuk kawal serpihan jatuh ke bumi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir ke Majlis Pelancaran Pelan Hala Tuju Teknologi di Aloft Kuala Lumpur Sentral.

China dijadual melancarkan roket keempat Long March pada Oktober ini, sekali gus mengundang kebimbangan mengulangi kejadian ser­­pihannya jatuh ke bumi termasuk dikesan di Miri, Sarawak.

Dua objek serpihan roket itu dijumpai di Kampung Nyalau, Bintulu dan Kampung Sepupok Lama, Niah, pada Ahad.

Ia selepas berlaku kemasukan semula serpihan roket Long March 5B milik China sekitar 12.55 pagi dengan melintasi ruang udara Malaysia di beberapa kawasan termasuk sekitar Sarawak.

Video kejadian itu sempat dirakam penduduk di negeri itu sebelum tular di media sosial.

Serpihan tiga roket China sebelum ini pernah ditemukan di barat Afrika pada 2020, sekitar kepulauan Maldives tahun lalu.

Author

Pilihan Editor