HomeGlobalDua lelaki mabuk ditemukan tidur di puncak 'Eiffel Tower'

Dua lelaki mabuk ditemukan tidur di puncak ‘Eiffel Tower’

DUA pelancong dari Amerika Syarikat (AS) ditemukan sedang tidur nyenyak di punca Menara Eiffel di ibu negara Perancis, kelmarin.

Menurut pengendali monumen, Sete, kedua-dua lelaki itu dikejutkan pengawal keselamatan pada awal pagi ketika membuat rondaan sebelum mercu tanda Perancis itu mula beroperasi pada 9 pagi, lapor New York Post.

Katanya, kedua lelaki itu ditemukan di kawasan yang kebiasaanya ditutup untuk orang awam iaitu antara tingkat dua dan tiga di menara berkenaan.

Difahamkan, pelancong terbabit dalam keadaan mabuk pada hari kejadian lantas mereka terperangkap dan tidak dapat keluar dari kawasan tersebut.

“Selepas membayar tiket masuk kira-kira pukul 10:40 malam (waktu tempatan) pada Ahad lalu, kedua-dua pelancong itu melepasi halangan keselamatan semasa menuruni tangga dari puncak menara,” kata sumber polis.

Tambahnya, anggota bomba, termasuk pasukan unit pakar untuk mengeluarkan orang dari ketinggian berbahaya, terpaksa dikerahkan untuk membawa keluar penceroboh berkenaan.

Kedua-dua lelaki itu kemudian dibawa ke balai polis di daerah ketujuh Paris untuk disoal siasat.

Menurut Sete, pihaknya akan memfailkan aduan jenayah.

Author

Pilihan Editor