SHAH ALAM: Bahagian kewangan dan tindakan ekonomi antara lima portfolio penting dipegang Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam pentadbiran negeri itu pada penggal ini.
Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu turut bertanggungjawab menguruskan pembangunan tanah dan sumber awam.
Malah, Amirudin turut memegang bahagian permodenan pentadbiran dan digitalisasi kerajaan, komunikasi strategik serta pendidikan dan pembangunan modal insan.
Perkara itu diumumkan Amirudin dalam satu sidang media, selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri, di sini pada Rabu.
Selain itu, beliau turut mengumumkan portfolio dipegang oleh 10 ahli MMKN lain.
Ia antara lain menyaksikan ADUN Kinrara, Ng Sze Han memegang portfolio Exco Pelaburan Perdagangan dan Mobiliti; ADUN Pandan Indah, Ir Izham Hashim sebagai Exco Infrastruktur dan Pertanian; manakala Borhan Aman Shah dilantik Exco Perumahan dan Kebudayaan.
Majlis sama turut mengumumkan portfolio dipegang oleh tujuh muka baharu Exco Selangor.
ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim yang sebelum ini merupakan Speaker DUN Selangor ditugaskan untuk memegang portfolio Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan.
Pengumuman itu turut menyaksikan ADUN Taman Templer, Anfaal Saari dilantik Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat.
Pada masa sama, ADUN Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail pula ditugaskan untuk memegang portfolio Exco Kemajuan dan Perpaduan manakala ADUN Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin dilantik Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar.
ADUN Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi dilantik Exco Belia Sukan dan Keusahawanan, manakala ADUN Banting, Papparaidu A/L Veraman pula memegang portfolio Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan
Malah, ADUN Seri Setia, Mohammad Fahmi Ngah yang pertama kali menjadi Exco memegang portfolio Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi.