HomeBeritaViralMPV 'reverse' rempuh medan selera di Melaka

MPV ‘reverse’ rempuh medan selera di Melaka

MELAKA: Tindakan sebuah kenderaan pelbagai guna MPV yang secara tiba-tiba mengundur dan merempuh Medan Selera Tanjung Kling, di sini, pada petang Sabtu menyebabkan sekumpulan pelanggan berdepan detik cemas.

Namun, kesemua mangsa sempat mengelak dan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian jam 2.43 petang itu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila seorang remaja berusia 16 tahun diminta ibunya untuk memanaskan enjin MPV di ruang parkir di hadapan medan selera berkenaan.

Menurutnya, ketika sedang memanaskan enjin, remaja terbabit tertekan pedal minyak dan mengubah kepada gear undur menyebabkan MPV itu mengundur secara mengejut, sebelum bergesel dengan kereta di parkir bersebelahan.

“MPV itu kemudian merempuh kerusi dan meja diduduki beberapa pelanggan di dalam medan selera itu, mujur mereka sempat mengelak daripada keadaan menjadi lebih serius,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Insiden itu tular melalui klip video berdurasi 21 saat yang dirakam sistem televisyen litar tertutup (CCTV) gerai medan selera berkenaan yang didapati membabitkan sekurang-kurangnya 11 pelanggan termasuk seorang bayi.

Christopher berkata, bagaimanapun setakat ini, pihaknya belum menerima laporan jumlah sebenar pelanggan terbabit kejadian itu termasuk mereka yang cedera.

“Mungkin ada yang cedera tapi setakat ini polis belum mengetahui jumlah sebenar mangsa yang terbabit, selain tiada mangsa dikesan menjalani rawatan di hospital.

“Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kita turut mengambil rakaman CCTV untuk dianalisa,” katanya.

Beliau berkata, kereta yang dipakir bersebelahan MPV itu mengalami kerosakan pada pintu dan cermin.

Author

Pilihan Editor