HomeMV+EksklusifIndustri hiburan negara perlu pemimpin tepat

Industri hiburan negara perlu pemimpin tepat

PETALING JAYA: Kalau tak ada angin, masakan pokok bergoyang.

Industri kreatif dan perfileman negara dilihat kembali semakin rancak.

Malah kebanyakan pihak luar negara begitu berminat menjalin kerjasama dengan penggiat filem dan anak seni tempatan untuk dibawa ‘keluar dari bawah tempurung’.

Bagaimanapun, timbul pula ‘cakap-cakap’ kurang enak didengar tentang peranan dan kepimpinan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang disifatkan lemah dan tidak peduli untuk memberi sokongan.

Baru-baru ini, pengarah filem hebat negara, Syamsul Yusof kecewa dengan FINAS seolah-olah lebih banyak mendiamkan diri, tidak memperjuangkan isu cetak rompak.

Turut senada dengan rakan seperjuangan yang juga pengarah dan pelakon, Datuk Afdlin Shauki yang menyoal relevan cukai hiburan dan peratus caj perkongsian dikenakan oleh pihak panggung, seolah juga tidak diambil peduli sebarang pihak.

Jika sebelum ini, ada sumber mendedahkan dakwaan ketidakhadiran Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas ke filem tayangan perdana sulung Mat Kilau di pawagam GSC MyTown Cheras.

Lebih aneh lagi, ada yang menyoal logo FINAS tidak dipaparkan pada bahan promosi dan publisiti.

Terbaharu, wujud gesaan supaya pengurusan FINAS diterajui oleh kepimpinan yang hanya cenderung dalam bidang hiburan negara sekali gus memastikan kelancaran pentadbiran agensi dan memperkasa industri hiburan tanah air.

Perlu ‘driver’ yang tepat

Penerbit Bersekutu The Lord Musang King, Datuk Seri Zaienal Abidin Omar mengulas mengenai industri hiburan kini memerlukan pembaharuan lebih tepat.

“Industri hiburan memerlukan ‘driver’ yang tepat. Kita ambil contoh, pemandu lori bawa lori, juruterbang bawa kapal terbang tetapi kapal terbang tidak boleh dipandu oleh pemandu lori.

“Driver lori boleh cerita semua pasal lori, tapi sebut pasal kapal terbang, dia tak boleh cerita.

“Dalam semua hal, kita perlu ada ‘driver ‘ yang tahu apa yang dia kena buat.

“Secara umumnya, kena totally reset the whole country,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Beliau mengulas, industri hiburan juga hanya akan kekal di bawah tempurung dan akan terjejas jika wujud pihak yang tidak menepati bidang.

“Sebab itu industri apa-apa pun tidak boleh bergerak kerana ada orang yang tidak kena dengan bidang, dia tidak tahu tiba-tiba dia duduk di situ.

“Contoh, katalah dia pensyarah, ada PhD ekonomi, pengajian dia tinggi, tapi suruh berniaga dia gagal. Tidak ada seorang profesor dalam dunia yang jadi ‘bilionair’, kena ada pakar bidang tu yang buat,” katanya seolah menyindir pihak dalam pengurusan FINAS, namun enggan menuduh sesiapa.

FINAS ditubuhkan pada Jun 1980 atas semangat dan falsafah untuk melihat industri perfileman dan budaya sinema Malaysia tetap terpelihara serta meriah dengan kebangkitan penerbitan karya untuk masyarakat dan kemunculan kelompok karyawan cemerlang dan penerbit yang prolifik.

Bagaimanapun, jawatan CEO tiba-tiba diwujudkan selepas hampir 40 tahun Finas berada dalam industri itu.

Kewujudan jawatan CEO dibuat Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang ketika itu diterajui Gobind Singh Deo.

Sejak daripada itu, dikatakan secara semangat, jati diri dan moralnya, imej FINAS itu sudah ‘tercemar’.

Mungkin ada kebenaran, FINAS perlu pembaharuan semula, dengan mengembalikan jawatan Ketua Pengarah seperti mana 40 tahun lalu kerana ia lebih sinonim dengan agensi perfileman itu?

Mungkin menteri sedia ada ketika ini, Tan Sri Annuar Musa juga boleh menilai perkara ini.

Author

Pilihan Editor