HomeBeritaPSDM dan UFP anjur Golf Amal, raih dana RM100,000 untuk Persatuan Sindrom...

PSDM dan UFP anjur Golf Amal, raih dana RM100,000 untuk Persatuan Sindrom Down

CYBERJAYA: Dana berjumlah RM100,000 berjaya dikumpulkan Persatuan Sindrom Down Malaysia (PSDM) dan UKM Fairway Philanthropists (UFP) menerusi penganjuran program Golf Amal 2023 di Bukit Jalil Golf and Country Resort baru-baru ini.

Presiden PSDM, Hanizan Hussin berkata menerusi acara Golf Amal 2023, semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat dapat diwujudkan sekali gus membawa kita selangkah lebih dekat ke arah merealisasikan visi untuk menjadi masyarakat inklusif.

Presiden PSDM, Hanizan Hussin

“Melalui acara ini, kami bukan sahaja berjaya mengumpul dana yang besar tetapi juga berjaya mewujudkan kesedaran dan pemahaman tentang Sindrom Down, yang menyumbang kepada pembangunan holistik individu-individu istimewa ini,” katanya dalam satu kenyataan media.

Sementara itu, Pengarah Projek UFP, Dr. Gary Tok berkata, pihaknya berbangga dengan sambutan yang diterima.

“Acara ini membuktikan potensi kerjasama dan inisiatif yang dipacu oleh komuniti.

“Bagi pihak pasukan pelajar MBA di UKM Graduate School of Business yang bertanggungjawab menganjurkan kejohanan amal ini, kami mengucapkan terima kasih atas peluang untuk menyumbang kepada perjuangan penting ini,” ujarnya.

Kenyataan sama turut memaklumkan dana berjumlah RM100,000 itu akan digunakan untuk menubuhkan Pusat Intervensi Awal baharu PSDM di Universiti Malaya serta menampung pelbagai perbelanjaan seperti naik taraf kemudahan dan sumber pendidikan.

Malah, PSDM dan UFP memperuntukkan sebahagian daripada jumlah dana yang dikumpul pada acara berkenaan kepada empat NGO iaitu Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB), Perikatan Cerebral Palsy (Gabungan Anak-anak Palsi Serebrum-GAPS) dan Yayasan Penyakit Alzheimer Malaysia (ADFM), masing-masing menerima RM1,000.

Untuk makluman, acara Golf Amal 2023 yang berlangsung pada Ahad lalu menghimpunkan 95 pemain golf.

Malah, acara amal itu turut mendapat tajaan daripada Harlow’s & MGI Sdn Bhd; Tan Sri Vincent Tan dari Berjaya Group; Pengerusi dan Penasihat D’Tandoor kepada PSDM, Datuk Abdul Malek Abdullah dan Les Copaque.

Pemain golf yang menyertai kejohanan itu terdiri daripada individu dan kakitangan daripada pelbagai entiti termasuk Allo Technology Sdn. Bhd. dan Kelab Golf Rekreasi Tenaga Nasional (TNRGC).

PSDM merupakan sebuah Pertubuhan Sukarela Kebangsaan yang menyokong dan menjaga kesejahteraan individu yang menghidap Sindrom Down dan keluarga mereka dan secara rasmi menjadi ahli penuh Pertubuhan Kebangsaan Kebajikan Malaysia (MAKPEM) sejak 2006.

Author

Pilihan Editor