HomeHiburanUlasan: MALBATT: Misi Bakara - 'Spoiler alert!'

Ulasan: MALBATT: Misi Bakara – ‘Spoiler alert!’

LETUPAN demi letupan – itulah suasana yang memenuhi filem MALBATT: Misi Bakara yang kini ditayangkan di seluruh pawagam di Malaysia.

Filem aksi perang ketenteraan Malaysia berdasarkan kisah benar arahan Adrian Teh itu berjaya mencatat kutipan sebanyak RM10.5 juta selepas empat hari tayangan sejak 24 Ogos lalu.

Malah, filem yang dinanti-nantikan keluarannya sejak tahun lalu, nyata memupuk semangat patriotik dalam kalangan anak Malaysia lebih-lebih lagi bulan Ogos merupakan bulan kemerdekaan negara.

Sebagai ulasan setelah menonton filem ini, penulis berpandangan bahawa MALBATT: Misi Bakara adalah sebuah filem yang berbaloi ditonton di pawagam oleh rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, tipulah jika dikatakan semua babak dan lakonan filem sempurna kerana masih ada kekurangan yang membuatkan penonton seperti penulis berasa sedikit hampa.

Berikut merupakan ulasan penulis selaku rakyat Malaysia yang tiada pengalaman dengan dunia ketenteraan.

  • Storyline:

Seperti diketahui, filem MALBATT: Misi Bakara diadaptasi daripada kisah ketenteraan anggota 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Mekanis daripada Malbatt 1 yang menyelamatkan 70 anggota tentera Amerika Syarikat dikenali ‘US Rangers’ yang terperangkap di Pasar Bakara, Mogadishu, Somalia pada 1993.

Oleh kerana cerita ini berdasarkan kisah benar, maka tiada sebarang ekspetasi diletakkan penulis berhubung jalan penceritaan. Namun, susunan jalan cerita yang sedikit kelihatan ibarat dokumentari membuatkan segelintir penonton berasa ‘lesu’ untuk menghabiskan tontonan filem. Lebih-lebih lagi, babak semalaman di kawasan sasaran yang kebanyakannya adegan dalam ‘kereta perisai’.

Bagaimanapun, buat individu yang gemar karya berkonsepkan edukasi dan elemen ketenteraan pastinya menjadi tarikan kerana banyak input ringkas berkaitan prosedur RAMD, jenis-jenis senjata, aset dan bom di medan perang ditonjolkan dalam filem ini.

  • Skrip:

‘Arahan tetap arahan’ – itulah dialog yang kekal bermain dalam fikiran penulis selepas menonton filem MALBATT: Misi Bakara.

Barangkali dialog yang diulang berkali-kali dalam beberapa babak antara pegawai atasan dan anak buahnya itu adalah penekanan bahawa dalam dunia ketenteraan, segala keputusan dan tindak-tanduk mereka yang bertugas itu bukanlah sesuatu yang ‘suka-suka’ ditentukan.

Dalam pada itu, cara komunikasi antara tentera-tentera ini menggunakan bahasa formal ketika berkhidmat turut dipamerkan dan mungkin sebilangan penonton akan terikut-ikut menggunakan perkataan ‘ganti’ dan ‘habis’ sewaktu berbicara menggunakan telefon.

Dari segi penggunaan bahasa yang kasar mungkin membuatkan ibu bapa perlu berfikir dua tiga kali sama ada akan membawa anak-anak kecil menonton di pawagam atau tidak. Tiada paksaan untuk pergi menonton, cuma peringatan mesra diingatkan bahawa filem aksi ini penuh dengan lagak dan kata-kata yang kurang sopan bagi mengikut kesesuaian filem tersebut.

  • Lakonan:

Filem MALBATT: Misi Bakara yang dibarisi pelakon mantap seperti Bront Palarae, Shaheizy Sam dan Hairul Azreen pastinya membuatkan ramai yang tak senang duduk untuk melihat mereka beraksi.

Tambah pula, trailer yang dikeluarkan Astro Shaw memaparkan barisan pelakon menjalani latihan intensif di kem tentera di Port Dickson membuatkan rata-rata penonton teruja melihat hasilnya.

Tidak dinafikan filem ini mempamerkan sisi seorang lelaki yang bergelar ‘tentera’ yang mahu menjadi ‘anak jantan’ dengan berdepan peperangan tanpa gentar.

Bagi pandangan penulis, watak paling menyerlah dalam filem ini adalah watak Lans Koperal Ramlee yang dilakonkan oleh Shaheizy Sam.

Foto: Casey’s movie mania

Suka untuk penulis memuji watak Ramlee ini yang disifatkan setia kawan, ‘kuat mengusik’ di kem namun berubah tegas sewaktu bertugas. Lebih menarik perhatian ketika adegan skuad Ramlee yang berdepan maut ibarat ‘nyawa di hujung tanduk’ menanti keajaiban berlaku dibawa dengan penuh emosi dan mesej yang jelas.

Rata-rata watak dalam filem ini bersikap dingin dan tegas namun, kemunculan Syazwan Zulkifli selaku Leftenan Johan yang mahu menjadi kebanggaan ‘Alor Gajah’ pasti membuatkan penonton terhibur seketika.

Pasti ramai yang sudah menonton video viral berhubung kematian arwah Koperal Mat Aznan berhubung tragedi Bakara itu sehingga ramai yang ternanti-nanti siapakah gerangan yang akan memegang watak arwah? Namun, penulis sedikit kecewa kerana babak yang sepatutnya bermain dengan emosi penonton itu ‘kurang menyengat’.

  • Sinematografi:

Dalam aspek ini, tidak dapat dinafikan suntingan dan transisi yang dilakukan mantap lebih-lebih lagi transisi ketika perubahan lokasi dari tanah air yang tenang berubah menjadi bara dek kerana letupan di Somalia.

Pasti ramai yang mempertikaikan konsep penggunaan ‘green screen’ dalam filem ini yang dilabelkan lemah. Barangkali filem ini lebih menarik ditonton dalam versi ‘IMax’ mungkin?

  • Konklusi:

Sebelum pergi menonton di pawagam, penulis mendapatkan dahulu ulasan daripada rakan-rakan yang sudah menonton sejak hari pertama filem MALBATT: Misi Bakara ditayangkan. Rata-rata mereka menyifatkan filem ‘Paskal’ lebih seronok ditonton berbanding Bakara ini.

Namun, seperti disebut pada awal penulisan ulasan ini, MALBATT: Misi Bakara masih berbaloi ditonton rakyat biasa yang kurang pendedahan mengenai kehidupan ketenteraan. Namun, karya ini bukanlah dikategorikan sebagai filem ‘terbaik’ buat tahun ini.

Selamat menonton wahai anak Malaysia!

Foto: MBO

Author

Pilihan Editor