PETALING JAYA: Artis versatil, Aliff Satar menganggap perkongsian perjalanan dan pengalaman menunaikan haji baru-baru ini sebagai satu dakwah kecil terutama kepada generasi muda yang meminatinya.
Kata penyanyi itu, perjalanan menunaikan haji sebenarnya memberi impak berbeza dalam hidupnya dan dia mahu berkongsi perkara baik walaupun bukan keseluruhan pengalamannya.
“Bila bercerita tentang sesuatu yang terlalu personal buat saya, itu dianggap sebagai dakwah kecil. Terutama anak-anak muda. Ada peminat berusia 20-an datang jumpa saya dan mengakui minat dari kecil.
“Sedar tak sedar, saya sudah 17 tahun dalam industri seni. Saya bermula di usia 16 tahun. Jadi ada peminat mula kenal saya sejak kanak-kanak.
“Saya sekadar bercerita, kongsi pengalaman yang mungkin boleh memberi inspirasi kepada sesiapa sahaja yang menonton,” katanya.
Aliff ditemui usai majlis kesyukuran dan doa selamat tamat penggambaran filem Perjanjian Anak Syaitan 2 yang turut dihadiri pengarah, Dr. Ahmad Idham dan pelakon, Eyka Farhana.
Diaju soalan adakah dia akan mula selektif selepas bergelar haji, jelas Aliff, dia memilih bukan dari segi watak sebaliknya, perlu melihat jalan cerita dan bagaimana dia membawakan watak tersebut.
“Kalau watak ini, saya tidak kisah. Tak ada selektif sangat. Sebab sebelum menunaikan haji pun saya ada disiplin sendiri dalam apa sahaja yang saya lakukan, bukan hanya lakonan.
“Sebenarnya bergantung kepada bagaimana saya mencorakkan watak itu. Bukan selektif tetapi ada batas-batas yang kita harus jaga sebagai seorang muslim,” ujarnya. – Utusan