KEHADIRAN seorang lelaki muda kacak menunggu di luar sekolah untuk menjemput seorang pelajar perempuan mencetuskan kebimbangan pihak sekolah pelajar itu bercinta dengan lelaki dewasa, lantas memanggil ibu bapa gadis itu.
Menurut portal berita Phunuphapluat, kisah itu berlaku di China apabila lelaki itu berdiri di luar sekolah menunggu pelajar perempuan berkenaan. Kemesraan mereka menarik perhatian rakan sekelasnya, ibu bapa yang lain dan guru kelasnya, yang membawa kepada syak wasangka bahawa mereka sedang bercinta.
Prihatin terhadap kebajikan pelajar berusia 15 tahun itu, guru itu merasakan perlu menjemput ibu bapanya ke sekolah. Walaupun pelajar itu menjelaskan tentang hubungannya dengan lelaki itu, guru itu tetap ragu-ragu, berdasarkan apa yang dia saksikan di pintu pagar sekolah.
Kisah sebenar terdedah apabila ibu bapa pelajar perempuan itu muncul di sekolah. Guru kelas segera menyedari bahawa lelaki yang dilihatnya di pintu pagar sekolah sebenarnya adalah bapa gadis itu, berusia lebih 40 tahun.
Guru itu berasa malu dan segera meminta maaf atas salah faham tentang kemesraan dua beranak itu yang disangka pasangan kekasih. Dia juga terkejut dan memuji bapa pelajar itu kerana penampilannya yang muda, lapor portal berita Sanook.
Rupa-rupanya pelajar itu biasanya berulang-alik ke sekolah sendiri atau kadang-kadang dengan neneknya, kerana kedua ibu bapanya sibuk dengan kerja. Bagaimanapun, semalam, si bapa kebetulan mempunyai masa terluang dan memutuskan untuk mengejutkan anak perempuannya dengan menjemputnya dari sekolah, tidak menjangka salah faham yang akan berlaku.
Selepas insiden salah faham pasangan kekasih yang melucukan itu dikongsi di rangkaian sosial China, ia segera mendapat perhatian. Netizen membanjiri hantaran tersebut dengan komen.
“Bapanya kelihatan terlalu muda, dia mesti banyak rahsia (awet muda).”
“Bagus ke ada ayah macam tu? Bagaimana jika bakal menantunya kelihatan lebih tua daripada bapanya?”
“Memiliki bapa yang kacak dan kelihatan begitu muda, anak perempuan itu pasti bangga dan membuatkan ramai orang cemburu.”