HomeBeritaRoS senarai hitam Timbalan Presiden MUDA selaras undang-undang

RoS senarai hitam Timbalan Presiden MUDA selaras undang-undang

PETALING JAYA: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) memaklumkan, tindakan senarai hitam yang dikenakan terhadap Timbalan Presiden MUDA, Amira Aisya Abd. Aziz adalah berpandukan kuasa yang termaktub di dalam Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832).

RoS dalam kenyataan hari ini berkata, senarai hitam terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu berikutan pembatalan pendaftaran Persatuan Ekonomi Merdeka (No. Pendaftaran: PPM002-10-03112017).

Kata kenyataan itu, ia dilakukan melalui notis yang dikeluarkan di bawah Seksyen 13(1)(c)(iv) pada 28 Oktober 2022 oleh Pendaftar Pertubuhan.

Katanya, tindakan tersebut juga adalah di bawah Seksyen 49 dalam akta sama.

“RoS ingin menegaskan bahawa tindakan yang dikeluarkan ini adalah berpandukan kepada segala proses siasatan dan undang-undang yang teratur,” katanya hari ini.

Semalam, Amira Aisya dilaporkan memperoleh kebenaran mencabar tindakan Pendaftar Pertubuhan menyenarai hitam dirinya sehingga tidak boleh memegang sebarang jawatan dalam mana-mana pertubuhan berdaftar.

Kebenaran itu diberi oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 17 Ogos lalu dan mahkamah menetapkan 14 September untuk pengurusan kes.

Berdasarkan afidavit sokongan, Amira Aisya memberitahu, pada 16 April lalu, beliau bersama-sama beberapa aktivis lain membuat permohonan melalui sistem dalam talian eROSES RoS untuk mendaftar sebuah pertubuhan bernama Persatuan Impak Wanita Malaysia (PIWM).

Beliau kemudian menerima e-mel bertarikh 18 April lalu daripada RoS Selangor yang memaklumkan permohonan pendaftaran PIWM ditolak yang antaranya kerana disenarai hitam dan tidak dibenarkan memegang jawatan dalam persatuan.

Tambahnya, pada tarikh tersebut, beliau kali pertama mengetahui dan dimaklumkan mengenai tindakan RoS menyenarai hitamkan dirinya berdasarkan seksyen kesalahan dinyatakan sebagai “13(1)(c)(iv)”.

Dengan jawapan diberikan RoS hari ini, ia sekali gus menjawab andaiannya bahawa kemungkinan tindakan diambil berhubung Persatuan Ekonomi Merdeka yang ditubuh pada 3 November 2017 di bawah Akta Pertubuhan 1966 yang mana beliau jawatan sebagai Setiausaha.

Bagaimanapun, Amira Aisya sebelum itu berpendapat, keputusan RoS adalah salah kerana tiada peruntukan di bawah Akta Pertubuhan 1966 dan Peraturan-Peraturan Pertubuhan 1984 yang memberi kuasa menyenarai hitam individu daripada memegang jawatan dalam pertubuhan bagi tempoh selama-lamanya. – Utusan

 

Author

Pilihan Editor