HomeBeritaViralLelaki berpisau selamba rompak bank seorang diri di bank Ipoh

Lelaki berpisau selamba rompak bank seorang diri di bank Ipoh

SEORANG lelaki bertindak nekad apabila melakukan rompakan bersenjata di sebuah bank secara seorang diri.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), lelaki yang memakai topi keledar berpenutup penuh itu pada mulanya dilihat masuk ke premis berkenaan, sebelum mengeluarkan pisau yang disembunyikan di bahagian depan seluarnya.

Dia kemudian dilihat meminta wang daripada salah seorang wanita yang sedang mengeluarkan wang di mesin pengeluaran wang secara automatik (ATM) secara paksa.

Disebabkan proses pengeluaran itu dilihat agak perlahan, suspek segera mengacukan pisau kepada seorang lagi wanita sebelum merampas wang daripada mangsa.

Pengawal keselamatan yang berada di lokasi kejadian yang tidak memegang sebarang senjata, dilihat hanya melarikan diri keluar dari premis tersebut.

Suspek juga dilihat segera meninggalkan lokasi dengan menunggang motosikal yang diparkir di luar premis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pihaknya mengesahkan kejadian yang tular di media sosial itu berlaku di ruangan mesin ATM sebuah bank di Ipoh, Perak.

Bagaimanapun, katanya, ia adalah kejadian lama yang berlaku lebih tiga bulan lalu iaitu pada jam 5.20 petang, 14 Mei lalu.

Katanya, mangsa kes adalah seorang wanita berusia 50-an yang mengalami kerugian kira-kira RM300 akibat disamun suspek yang dipercayai seorang lelaki menggunakan pisau.

“Kita terkesan satu video tular berdurasi satu minit tiga saat di media sosial hari ini yang memaparkan satu kejadian samun bersenjata pelanggan ATM sebuah bank.

“Polis sedang berusaha mengesan suspek berkenaan yang (penahanannya) dipercayai boleh membantu menyelesaikan kes-kes jenayah kekerasan yang lain,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Yahaya berkata, pihaknya juga ada menerima laporan kes samun di ATM membabitkan bank lain di sini dengan modus operandi sama, dipercayai dilakukan suspek sama pada pagi Rabu lalu.

Yahaya berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan dan sebarang maklumat mengenainya boleh disalurkan kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Deputi Superintendan Mohd Zulkefli Mohd Muktar di talian 012-4336999 atau menghubungi Pusat Kawalan Daerah IPD Ipoh di talian 05-2542222.

Author

Pilihan Editor