KUALA LUMPUR: Gelekan penyanyi sensasi, Baby Shima, 28, di Konsert Hausboom Music sekali lagi mengundang kecaman hebat apabila disifatkan keterlaluan, selain pakaian mencolok mata, kelmarin.
Akibatnya, Shima dituduh tidak sensitif, murahan dan ada netizen berharap dipanah petir pada konsert berkenaan.
Malah, ada netizen mempertikaikan kenapa penyanyi antarabangsa dilarang memasuki ke Malaysia, sedangkan artis tempatan tidak menjaga adab ketika persembahan.
Tidak melatah kritikan dilemparkan, penyanyi lagu Ikan Di Dalam Kolam itu berkata, netizen yang mengkritik tidak berada di tempat kejadian.
Sebaliknya, katanya, hanya melihat potongan video persembahannya yang dikongsikan dalam platform media sosial.
“Sebenarnya saya tak tahu video gelekan menjadi viral dan dilihat keterlaluan.
“Saya merasakan ia hanyalah gelekan biasa untuk persembahan dangdut.
“Apa yang dikongsikan dalam laman sosial hanyalah potongan video persembahan diambil pelbagai sudut.
“Video yang viral diambil dari arah belakang, jadi kelihatan keterlaluan.
“Sekiranya melihat persembahan secara ‘live’ mereka dapat lihat gelekan saya tidaklah teruk sangat,” katanya kepada BH Online.
Shima berkata, sekiranya persembahannya keterlaluan tentulah penonton sudah ‘diboikot’, sebaliknya rata-rata kelihatan terhibur menonton persembahannya.
Katanya, dia tiada niat mencabar mana-mana pihak.
Sebagai penghibur, katanya, dia hanya ingin menjalankan tanggungjawab diamanahkan penganjur dengan sebaiknya.
“Saya tak cabar mana-mana pihak, walaupun saya tahu apa sahaja yang dilakukan pasti ada yang tak kena di mata netizen.
“Sedangkan jika mengikut dangdut sebenar, gelekan lebih dahsyat lagi. Apa yang ditonjolkan tak sampai 50 peratus,” katanya yang pernah dikecam bergelek dalam majlis rumah terbuka Aidilfitri, baru-baru ini. – Berita Harian