TANAH MERAH: Tindakan seorang wanita yang ‘memadukan’ suami terbongkar, selepas perkahwinan itu diketahui suaminya.
Peniaga, Rahaman Mohamed Jaafar, 47, mendedahkan dia berkahwin dengan isterinya yang berusia 32 tahun pada Januari 2019 di Narathiwat, Thailand sebelum isterinya menghilangkan diri dari rumah Januari tahun ini.
Katanya, perkahwinan mereka disahkan cukup syarat mengikut hukum syarak oleh Mahkamah Rendah Syariah Tanah Merah, pada 6 Jun lalu dan didaftarkan di Pejabat Agama Jajahan Tanah Merah.
“Bagaimanapun selepas kehilangan isteri pada Januari lalu, saya mendapat tahu di media sosial pada April lalu bahawa isteri saya akan berkahwin dan perkara itu agak mengejutkan kerana saya tidak pernah menceraikannya dan kami masih suami isteri.
“Selepas saya membuat semakan, saya mendapati isteri saya ada membuat permohonan untuk berkahwin dengan lelaki lain yang berusia 42 tahun di Pejabat Agama Besut, Terengganu pada April lalu dipercayai menggunakan surat cerai dengan suami pertamanya iaitu sebelum berkahwin dengan saya,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Rahaman berkata, susulan mengetahui dia ‘dimadukan’ isteri, dia memfailkan tuntutan faraq nikah di antara isterinya itu dengan lelaki terbabit, lapor Berita Harian.
“Susulan itu, Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu pada Ogos lalu membuat keputusan memerintahkan isteri saya selaku defendan pertama dan suami keduanya yang juga defendan kedua difaraqkan sementara.
“Mereka tidak dibenarkan tinggal bersama sebagai suami isteri sehingga kes kami selesai dibicarakan,” katanya.
Terdahulu, Rahaman hadir di Mahkamah Rendah Syariah Tanah Merah, di sini, hari ini untuk prosiding keputusan lafaz cerai talak tiga yang difailkan isterinya.
Hakim, Ahmad Hariri Mohd Saat, kemudiannya memberikan tempoh 14 hari kepada Rahaman untuk membuat sumpah laknat bagi menafikan dakwaan isterinya.
Rahaman yang diwakili peguam, Marzuqi Muhamad, menegaskan dia tidak pernah membuat lafaz cerai terhadap isterinya sebagaimana yang didakwa dan sehingga kini mereka masih suami isteri.
“Saya sangat kecewa dengan tindakan isteri. Empat tahun kami berkahwin, baru beberapa bulan saya mendapat sijil nikah, namun akhirnya saya ‘dimadukan’.
“Saya percaya pejabat agama mengeluarkan kebenaran berkahwin terhadap isteri saya dengan suami keduanya ketika perkahwinan kami di luar negara dalam proses pengesahan di sini,” katanya.