OLEH: FATTAH RAZZAQ
KUALA LUMPUR: Bagi meraikan sambutan Hari Kebangsaan Ke-65, pengeluar jenama minuman teh gaya hidup, Tealive akan mengedarkan 10,000 kopi percuma pada 17 Ogos ini.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding Sdn. Bhd., Bryan Loo berkata, pelanggan dijemput pada tarikh itu dan mempamerkan semangat patriotik dan cinta pada negara dengan melaungkan ‘Kopi Merdeka’ sebanyak tiga kali untuk mendapat kopi percuma.
Menurut beliau, sebagai produk buatan Malaysia, Tealive memberi layanan kepada rakyat setiap hari di segenap sudut dan pelosok negara tercinta.
“Kami berbangga dengan identiti Malaysia kami ketika kami berkembang ke negara-negara ASEAN, Eropah, Australia dan kini di Afrika.
“Dengan meraikan Merdeka dua minggu sebelum 31 Ogos akan membangkitkan lagi semangat patriotik dan menjadi permulaan awal yang baik dalam menunjukkan rasa terima kasih kami kepada peminat setia Malaysia, diikuti dengan pemberian diskaun sebanyak 31 peratus bagi Kopi Signature sehingga 31 Ogos.
“Kami amat menghargai segala sokongan daripada para peminat dan penggemar Tealive yang telah membolehkan kami berkembang maju di Malaysia dan luar negara.
“Dengan sokongan mereka, cawangan kami yang ke-800 akan dibuka bulan depan dan terus meningkatkan keupayaan kami sebagai peneraju serantau jenama the gaya hidup,” katanya dalam kenyataan di sini.
Loo turut memberitahu menu kopi yang lagi menarik dan banyak pilihan akan ditawarkan di setiap cawangan Tealive mulai 17 Ogos ini.
“Kami sedar rakyat Malaysia mengambil berat terhadap cabaran pandemik dan ketidaktentuan ekonomi tetapi untuk Ulang Tahun Kemerdekaan ke-65 ini, kami yakin jika kami bersatu padu, segala cabaran akan dapat kita tempuhi bersama. Ini selaras dengan misi kami untuk memperkenalkan ‘Kopi untuk semua’,” ujar beliau.