HomeBeritaLawas dilengkapi lapangan terbang baharu berkonsep tenaga hijau menjelang 2026

Lawas dilengkapi lapangan terbang baharu berkonsep tenaga hijau menjelang 2026

Oleh: ARRIAN ZAYNE

LAWAS: Lapangan terbang baharu berkonsepkan tenaga hijau akan dibina di Sundar, Lawas bermula pada suku pertama tahun depan dan dijangka siap menjelang akhir tahun 2026.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata lapangan terbang baharu ini penting kerana ia akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi di wilayah utara.

“Lawas memerlukan lapangan terbang yang lebih besar untuk menampung kemasukan pelancong perniagaan dan riadah ke bandar untuk menyertai aktiviti ekonomi dan pelancongan,” katanya yang juga pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Utara (NRDA).

Beliau berkata demikian di majlis penutupan Bengkel Kajian Penilaian untuk cadangan lapangan terbang baharu Lawas, di sini hari ini.

Menurut beliau, projek pembinaan lapangan terbang baharu ini serentak dibangunkan bersama beberapa ptojek mega lain di daerah berkenaan.

“Saya memilih projek mega seperti Lebuhraya Pantai Utara (NCH), Sarawak Sabah Link Road (SSLR) dan Lebuhraya Trans Borneo (LTB) yang akan dilengkapi dengan lapangan terbang baharu itu,” ujarnya.

Dalam masa sama kata Awang Tengah lagi Pihak Berkuasa Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) telah menyelesaikan kajian untuk cadangan pelabuhan laut dalam baharu di Lawas.

Manakala tambahnya kementerian beliau kini dalam usaha menyiapkan pelan induk pembangunan terminal perindustrian yang merupakan sebahagian daripada strategi untuk membangunkan hab petrokimia di Lawas.

“Kedua-dua kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti faktor kejayaan kritikal dan ekosistem untuk menyokong cadangan pertumbuhan dan pembangunan industri petrokimia di rantau ini,” katanya lagi.

Untuk rekod Lawas hanya memiliki Lapangan Terbang Berlepas dan Mendarat Pendek (STOLport) yang telah beroperasi sejak tahun 1961.

Pernah dinaik taraf pada tahun 1996 namun STOLport terus mengalami isu-isu tertentu seperti banjir manakala peningkatan penumpang telah menyebabkan STOLport tidak dapat menampung permintaan yang meningkat.

Justeru, Kementerian Pengangkutan Malaysia yang menjalankan kajian kemungkinan pada 2016 telah mengesyorkan lapangan terbang baharu dengan panjang landasan 1,500 meter yang boleh memuatkan pesawat ATR 72-500 untuk dibangunkan.

Author

Pilihan Editor