KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan 34 kompaun serta menutup dua premis makanan di sepanjang Jalan Radin Anum, Radin Tengah dan Radin Bagus di Bandar Baru Sri Petaling di sini, selepas didapati tidak mematuhi standard yang ditetapkan.
Menurut DBKL, tindakan kompaun dan menutup premis makanan itu dilakukan hasil daripada pemeriksaan ke atas 19 daripada 31 premis makanan di kawasan berkenaan.
“Tindakan diambil mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983 dan 28(1) Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan WPKL 2016.
“DBKL komited meneruskan pemantauan kerana ini membabitkan soal keselamatan dan kesihatan warga kota sebagai pelanggan,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook.
DBKL berkata, antara kesalahan dikesan adalah tiada lesen petempatan makanan, pekerja yang tiada suntikan tifoid dan menjalani kursus pengendali makanan, lantai dinding dapur kotor serta jubin rosak.
“Selain itu, bahan makanan ditempatkan di atas lantai, tidak memasang dan menyelenggara alat perangkap minyak, penyediaan makanan di atas lantai dan di luar premis, serta terdapat hurungan makhluk perosak di tempat makanan,” katanya.
DBKL turut mengingatkan kepada pemilik premis makanan, faktor harga makanan mahal bukan sahaja penyebab kekurangan pelanggan, namun premis tidak bersih juga antara penyebab utama.