BENTONG: Kerajaan ketika ini didakwa tidak kukuh, dalam keadaan perut kembung, boleh cirit birit dan rebah pada bila-bila masa sahaja.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, oleh sebab itu Perikatan Nasional (PN) memerlukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Dewan Rakyat yang mendukung dan bersama gabungan itu untuk membuat perubahan.
“Kita harap pengundi di Pelangai memilih calon kita Kasim Samat. Cikgu Kasim mempunyai kemampuan kalau masuk ke Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menegakkan amar makruf nahi mungkar.
“Cikgu Kasim berkelulusan tinggi dalam bidang agama dan cukup syarat menjadi pemimpin. Calon Bebas rendah lagi (kelayakan).
“Pilih calon layak untuk wakil kita, buka hanya berbual di kedai kopi tapi yang mampu menyampaikan suara rakyat di DUN,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana PN sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai di sini semalam.
Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, pengundi di Pelangai mempunyai tanggungjawab yang cukup besar bagi memilih wakil rakyat pada PRK kali ini.
“Malaikat tulis semua (amalan kita), kerja kita, rezeki kita termasuk siapa pemimpin yang kita pilih. Semua malaikat tulis. Hendak jawab ke kepada Allah SWT kita pilih pemimpin macam itu kerana dapat RM50? Kalau berani jawap,” katanya.
Jadi beliau meminta umat Islam khususnya di Pelangai menunaikan kewajipan mengundi dalam suasana sedang menghadapi bahaya kumpulan bukan Islam yang bergerak untuk menguasai negara.
“Orang bukan Islam keluar mengundi 90 peratus, orang Islam, 70 peratus, ini bahaya dan merupakan kesilapan yang sangat besar,” dakwanya. – Utusan