CYBERJAYA: Selepas dikritik hebat oleh netizen susulan gaya pengacaraannya di pentas All Stars Gegar Vaganza (GV10), pelakon dan pengacara Elly Mazlein mengambil keputusan untuk mengundurkan diri dari program realiti tersebut.
Elly atau Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 43, mengambil keputusan itu selepas dia membaca komen netizen terhadapnya.
Elly atau lebih dikenali sebagai Kak Lina Pom Pom tidak menyalahkan mana-mana pihak sebaliknya mengakui kesilapan dirinya dalam mengacarakan program realiti berkenaan.
“Selepas Kak Lina membaca kesemuanya. Ya Kak Lina baca semua komen-komen anda, sudah masanya Kak Lina tidak perlu ada di GV demi menjaga hati anda dan semua pihak.
“Kak Lina meletakkan semua kesalahan pada diri sendiri. Niat Kak Lina untuk menghiburkan,tapi lain pulak jadinya.
“Buat semua orang tak berminat nak tengok GV pula, sekali lagi Kak Lina meletakkan kesalahan pada diri sendiri,” katanya menerusi hantaran di Instagram.
Elly menjelaskan, tujuan dia menggunakan konsep pengacaraan itu hanyalah untuk menghiburkan penonton.
Namun begitu, dia tidak menyangka cara penyampaiannya mendatangkan reaksi kurang senang dalam kalangan warga net.
“Demi kebaikan semua pihak, Kak Lina tak akan muncul lagi di GV. Minta maaf segala kekhilafan ya, Kak Lina tak bermaksud apa-apa. memang nak menghiburkan,” luahnya.
Bagaimanapun, Elly memaklumkan dia akan mengundurkan diri sebagai karakter ‘Kak Lina Pom Pom’ dan menggantikannya dengan ‘Elly Mazlein’.
“Jaga diri ya semua, thank you diatas segala kemanisan yang kak Lina rasa sebelum ni. Terima kasih banyak-banyak.
“Insya-Allah Elly Mazlein akn menggantikan Kak Lina di GV nanti,” ujarnya.
Sebelum ini, gabungan tiga pengacara GV10 iaitu Nabil Ahmad, Jihan Muse dan Elly Mazlein mengundang pelbagai reaksi kurang senang dalam kalangan netizen.
Malah, ada segelintir warga net menyifatkan gandingan Nabil dan Jihan sudah cukup menggamatkan program realiti tersebut.