HomeBeritaViralSebutan 'banjir kiriman dari Malaysia' bikin netizen kecam agensi berita Indonesia

Sebutan ‘banjir kiriman dari Malaysia’ bikin netizen kecam agensi berita Indonesia

GARA-GARA menyebut ‘banjir kiriman dari Malaysia’, sebuah agensi berita di Indonesia menerima kecaman teruk oleh warga net.

Perkara itu susulan video laporan berita yang dimuat naik dalam saluran YouTube @OfficialiNews, memaparkan pembaca berita berkenaan mendakwa banjir yang berlaku di Kalimantan berpunca dari Malaysia.

“Selain disebabkan taburan hujan yang tinggi, banjir juga merupakan kiriman dari Malaysia,” lapor pemberita tersebut.

Katanya, bencana banjir yang berlaku di Daerah Nunukan, Kalimantan Utara telah menyebabkan ratusan rumah penduduk di 10 kawasan itu musnah kerana kiriman hujan dari Malaysia.

Laporan berita itu turut mencetuskan perdebatan dalam kalangan rakyat Malaysia yang rata-ratanya berang akan dakwaan pemberita terbabit yang dianggap cuba menyalahkan negara Malaysia atas bencana melanda negara seberang itu.

Menjengah di ruangan komen, rata-rata netizen meninggalkan komen berbaur sindiran berhubung laporan berkenaan.

Salah satu yang menjadi perhatian apabila ada netizen Malaysia berseloroh menanyakan jumlah kos dan perkhidmatan apa yang digunakan untuk ‘mengirim’ hujan ke Indonesia seperti didakwa laporan itu.

“Berapa kos Malaysia hantar air banjir ke sana? Naik pesawat atau kapal kargo? Maaf saya hanya tanya, mesti mahal kan,” komen seorang warga net.

“Berhati2 bila bercakap tu…jangan suka menuduh Malaysia… hujan,banjir gempa bumi bagai tu semua Allah SWT yang kirim…tak tahu ke, belajar bagi habis..ingat setiap apa yg berlaku di negara kamu tu pasti ada sebabnya,” luah seorang lagi netizen.

“Banjir pun dah boleh kirim, jodoh bila nak dikirim pula,” seloroh warga net.

Dalam pada itu, seorang individu yang dipercayai warga Indonesia tampil membuat satu kenyataan memaklumkan penggunaan bahasa pemberita tersebut kurang bersesuaian.

Katanya, perkataan ‘kiriman’ itu menimbulkan salah faham dalam kalangan penduduk negara dan rakyat Malaysia.

“Bahasa ‘kiriman’ itu tidak sesuai untuk disampaikan. Salah satu contoh dahulu gempa bumi di Sumatera, gegarannya dirasai sampai ke Selangor, Malaysia, malah tidak pernah pula dengar berita Malaysia kata ‘gempa bumi kiriman Indonesia’.

“Ingat bencana itu bukan kiriman siapa-siapa, ia kiriman sang pencipta (Allah SWT),” tulisnya.

Author

Pilihan Editor