PUTRAJAYA: Seorang pempengaruh yang dikenali sebagai Eira Aziera gagal mengenetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya membayar ganti rugi RM100,000 berhubung isu ‘body shaming’ dan buli siber terhadap seorang pesuruhjaya sumpah menerusi Facebook Live, tiga tahun lalu.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Seri Kamaludin Md. Said dan bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S.M. Komathy Suppiah memutuskan demikian selepas mendapati rayuan Eira Aziera atau nama sebenarnya, Noorazira Pissal tidak mempunyai sebarang merit.
“Selepas mempertimbangkan segala hujahan, kami bersetuju bahawa Hakim Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf apabila memutuskan bahawa kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh perayu (Eira Aziera) adalah fitnah. Perkataan-perkataan yang diucapkan adalah jelas dan tiada keperluan untuk memanggil pakar.
“Berdasarkan rekod-rekod rayuan yang diteliti, elemen-elemen (fitnah) lain juga telah dibuktikan. Sehubungan itu, kami sebulat suara mendapati tiada merit dalam rayuan perayu berhubung liabiliti,” kata panel itu.
Tambah panel itu lagi, Hakim Mahkamah Tinggi tidak membuat sebarang kekhilafan dalam dan dapatan Hakim itu dikekalkan.
Sementara itu, berhubung rayuan balas Suharnizan Md. Sidek yang merupakan responden dalam rayuan hari ini, panel terbabit turut memutuskan bahawa rayuan itu tidak mempunyai sebarang merit.
Suharnizan memfailkan rayuan balas itu selepas tidak berpuas hati dengan jumlah RM100,000 yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru yang didakwa tidak mencukupi.
“Berhubung rayuan ini, selepas meneliti alasan-alasan penghakiman Hakim Mahkamah Tinggi berhubung kuantum (ganti rugi), kami dapati jumlah yang ditaksirkan adalah munasabah. Ia tidak keterlaluan atau tidak mencukupi. Hakim Mahkamah Tinggi juga telah mengambil kira faktor buli siber dan body shaming. Oleh itu kami mendapati rayuan balas berhubung kuantum tidak mempunyai sebarang merit.
“Kuantum (yang ditetapkan sebelum ini) dikekalkan. Rayuan balas ditolak dengan kos RM10,000,” kata Hakim Ahmad Zaidi.
Pada 13 Oktober 2020, Suharnizan selaku plaintif, memfailkan saman menuntut ganti rugi RM2 juta terhadap Eira Aziera di Mahkamah Tinggi Johor Bahru yang didakwa telah memfitnah dan melakukan penghinaan terhadap bentuk fizikalnya dengan menyamakan dengan fizikal haiwan.
Kemudian pada 13 Jun tahun lalu, Mahkamah Tinggi Johor Bahru memerintahkan pempengaruh media sosial, Eira Aziera membayar ganti rugi RM100,000 dan kos guaman RM30,000 kepada Suharnizan yang menjadi mangsa body shaming.
Mahkamah Tinggi itu memutuskan demikian setelah perbicaraan penuh dijalankan lima hari bermula 24 hingga 28 Oktober 2021 secara dalam talian selepas mengambil kira semua keterangan saksi dan membaca hujahan kedua-dua pihak.
Sebelum ini, media melaporkan sebelum ini Suharnizan telah membuat komen ‘live masak, live makan-makan, letak produk kurus, boleh kurus ke?’ menerusi video secara langsung sebelum dikongsikan rakannya dalam Facebook Eira Aziera. – Kosmo!