HomeSukanStadium Sultan Ibrahim 'benchmark' naik taraf Stadium Nasional Bukit Jalil

Stadium Sultan Ibrahim ‘benchmark’ naik taraf Stadium Nasional Bukit Jalil

BUKIT JALIL: Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) menjadikan Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di Iskandar Puteri, Johor sebagai penanda aras, bagi menaik taraf Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) di ibu negara.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PSM, Mohd Faidz Sanusi berkata, pihaknya masih dalam proses untuk melaksanakan perkara itu, demi memastikan kemajuan dalam arena bola sepak kebangsaan.

Katanya, keutamaan ketika menaik taraf SNBJ adalah dengan mengambil kira keperluan buat para pemain seperti padang, gim, bilik persalinan, ruang berehat selepas perlawanan dan tandas.

“Pada saya, the benchmark of SNBJ is SSI dalam bola sepak. Kami juga mengutamakan kegunaan dan perkara yang mendesak dalam menaik taraf stadium ini,” katanya ketika sidang media selepas majlis pelancaran SNBJ, yang dirasmikan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tengku Ismail Sultan Ibrahim di sini pada Khamis.

Turut hadir pada majlis sama adalah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Pengerusi PSM, Datuk Hans Isaac.

Beliau berkata demikian susulan terdapat permintaan daripada Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon yang mahukan SNBJ dinaik taraf sama seperti SSI.

Harimau Malaya merupakan pasukan di bawah seliaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), yang juga salah satu pemegang taruh kepada PSM.

Justeru, tidak mustahil Harimau Malaya mahu PSM menyediakan perkhidmatan terbaik, bagi memberi persembahan terbaik dalam setiap perlawanan.

Dalam perkembangan lain, Mohd Faidz berkata, PSM memberi keutamaan kepada persatuan sukan untuk penggunaan SNBJ, diikuti penggunaan dalam kalangan komuniti dan komersial.

Meskipun penggunaan komersial  sedikit sebanyak memberi keuntungan kepada PSM, namun, katanya, ia tidak boleh bergantung 100 peratus kepada geran kerajaan.

Ketika ditanya sama ada padang baharu yang digunakan kali pertama sesuai untuk perlawanan bola sepak, beliau berkata, penyokong perlu percaya dengan proses baik pulih padang dan ia sudah bersedia untuk digunakan.

“Esok (Jumaat) adalah kali pertama di mana para pemain Harimau Malaya akan mencuba padang ini dan kami akan ambil input ini untuk penambahbaikan,” katanya sambil menambah pihaknya akan memastikan masalah takungan air tidak berulang.

Pada Jumaat, Pestabola Merdeka 2023 menyaksikan pemain Harimau Malaya sebagai pasukan pertama menggunakan padang baharu SNBJ ketika menentang India.

Author

Pilihan Editor