PETALING JAYA: Dua orang maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah van dan kereta di Jalan Pinggiran Putra, Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan dekat sini, hari ini.
Kejadian yang berlaku kira-kira 4 pagi itu membabitkan seorang lelaki dan wanita berusia lingkungan 20-an yang menaiki Proton Wira dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang ke lokasi sebaik sahaja menerima laporan kejadian pada pukul 4.07 pagi.
“Dua mangsa dalam kereta terbabit disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Bagaimanapun, pemandu van iaitu seorang lelaki dianggarkan berusia 50-an terselamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Maklumnya, kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.