HomeGlobalSampah berlonggok, Gaza dikhuathiri dilanda wabak

Sampah berlonggok, Gaza dikhuathiri dilanda wabak

LONGGOKAN sampah di luar Hospital Al-Shifa di Gaza akibat ketidakupayaan pengurusan menimbulkan kekhuathiran tentang risiko dilanda wabak di wilayah yang dilanda konflik itu, lapor Middle East Monitor.

Ribuan rakyat Palestin mendapatkan perlindungan di hospital, selepas masing-masing kehilangan tempat tinggal akibat serangan berterusan rejim pengganas Israel.

Namun, longgokan sampah di luar institusi kesihatan itu mungkin membawa masalah lebih besar kepada orang ramai yang masih berjuang meneruskan kehidupan mereka.

Di tengah-tengah desakan Israel ke atas rakyat Palestin untuk mengosongkan kediaman mereka di wilayah itu selain serangan bom berterusan, sebanyak 70 peratus penduduk kini tidak dapat menerima rawatan kesihatan sepatutnya, umum Kementerian Kesihatan Palestin pada Ahad.

“Selepas PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) mengosongkan pusatnya dan berhenti menyediakan penjagaan kesihatan, 70 peratus penduduk di Gaza utara kini kehilangan rawatan perubatan,” kata kementerian itu dalam kenyataan.

Jumaat lalu, rejim pengganas Israel mengerahkan lebih sejuta penduduk Palestin untuk mengosongkan kediaman masing-masing, selepas memberi amaran bahawa serangan darat akan dilancarkan di wilayah itu.

Desakan itu dikecam pelbagai pihak dengan PBB dan badan-badan antarabangsa lain memberi amaran ia akan membawa kepada malapetaka, manakala hospital di Gaza menegaskan bahawa lebih ramai pesakit yang perlu dirawat terpaksa melakukan perjalanan.

Sekatan ketat Israel ke atas Gaza sejak minggu lalu termasuk memotong bekalan air, elektrik, perubatan, makanan serta apa jua bentuk bantuan memberi kesan buruk kepada penjagaan kesihatan penduduk.

Sabtu minggu lalu, rejim pengganas Israel melancarkan serangan berterusan di Semenanjung Gaza sebagai tindak balas ke atas Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), yang menyasarkan serangan mengejut di negara haram.

Serangan Hamas tersebut merupakan bantahan atas serbuan di Masjid Al-Aqsa dan peningkatan keganasan yang dilakukan oleh penduduk Yahudi terhadap rakyat Palestin.

Lebih 2,700 orang terbunuh sejak tercetusnya konflik pada hujung minggu lalu, yang menyaksikan korban lebih 1,400 rakyat Palestin dan 1,300 warga Israel.

Author

Pilihan Editor