HomeBerita'Dah dua kali adik bakar rumah, kali ketiga hangus gagal diselamatkan'

‘Dah dua kali adik bakar rumah, kali ketiga hangus gagal diselamatkan’

KUALA TERENGGANU: “Sebelum ini sudah dua kali adik cuba membakar rumah keluarga ini dengan kali terakhir dilakukannya lima tahun lalu, namun gagal apabila api berjaya dipadamkan. Bagaimanapun, pagi tadi sekali lagi adik bertindak di luar batasan dan rumah ini akhirnya hangus dan gagal diselamatkan,” kata Raja Rohani Raja Salim, 51.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.10 pagi tadi, sebuah rumah dua tingkat separuh kekal hangus dipercayai dibakar seorang lelaki berusia 30-an yang dipercayai mengalami kemurungan di Kampung Parit Che Ha, Manir, di sini.

Menceritakan kejadian itu, Raja Rohani yang juga peniaga makanan berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang mandi dan terdengar bunyi letupan di luar rumahnya.

Beliau berkata, dia meminta suaminya melihat apa yang berlaku dan mendapati rumah keluarga yang dihuni empat adik-beradik tiri yang jaraknya kira-kira 100 meter dari rumahnya terbakar.

“Rumah ini milik ayah, Raja Salim Raja Kadir, 74, yang didiami empat beradik, manakala ayah duduk berasingan tidak jauh dari rumah ini.

“Seorang daripada empat beradik yang tinggal di sini dipercayai mengalami masalah kemurungan dan ketika kejadian dia tinggal seorang diri selepas tiga yang lain keluar bekerja,” katanya ditemui di sini, hari ini.

Raja Rohani berkata, sebelum ini adiknya itu pernah membakar motosikal miliknya sendiri dan tidak menyangka bertindak membakar rumah keluarga.

“Selepas membakar rumah, adik melarikan diri dan perbuatannya ini menyebabkan tiga beradik yang lain hilang tempat tinggal,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira jam 8.30 pagi.

Beliau berkata, sepasukan 17 anggota membabitkan empat jentera dikejarkan ke lokasi kejadian dan mendapati kediaman itu terbakar 80 peratus.

“Api dapat dikawal pada jam 8.56 pagi, manakala kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya. – Berita Harian

 

Author

Pilihan Editor