KUALA LUMPUR: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 untuk tempoh lima tahun bermula 31 Januari 2024.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial dalam kenyataan berkata, pemilihan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara pada Jumaat.
Sultan Ibrahim akan menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang bakal menamatkan tempoh pemerintahan pada 30 Januari tahun depan.
Syed Danial berkata, Majlis Raja-Raja turut mengisytiharkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.
“Mesyuarat Khas Majlis Raja-raja yang berlangsung hari ini dipengerusikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin. Ia dihadiri oleh semua Duli Yang Maha Mulia Raja-raja kecuali Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra dan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.
“Menurut peruntukan Paragraf 3, Bahagian Pertama, Jadual Ketiga Perlembagaan, keputusan Majlis Raja-raja ini sudah dikemukakan kepada kedua-dua Dewan Parlimen. Perdana Menteri turut dimaklumkan,” katanya.