HomeGlobalWartawan Al Jazeera kembali ke udara 24 jam selepas kematian keluarga di...

Wartawan Al Jazeera kembali ke udara 24 jam selepas kematian keluarga di Gaza

SEORANG wartawan yang sedang bersiaran secara langsung semasa mengetahui bahawa isteri, anak perempuan dan anak lelakinya dibunuh di Gaza telah kembali bekerja 24 jam kemudian.

Wael Al Dahdouh, ketua biro Gaza Al Jazeera berkata, ia adalah tugasnya untuk kembali “walaupun hatinya terluka dan kesakitan”, selepas serangan udara Israel membunuh keluarganya pada Rabu.

“Adalah menjadi kewajipan saya untuk bertemu anda melalui lensa kamera dan saluran komunikasi,” kata wartawan itu dalam video sambil berdiri di atas bumbung bangunan yang menghadap ke bandar Gaza.

“Keperluan untuk komunikasi, perpaduan dan meminta bantuan adalah penting bagi kami,” katanya.

Keluarga Al Dahdouh terbunuh selepas melarikan diri dari utara Gaza ke selatan berikutan amaran Israel untuk berpindah ke tempat selamat.

Wartawan terkenal itu kehilangan isteri, seorang anak perempuan, seorang cucu dan anak lelakinya yang berusia 15 tahun yang mahu mengikut jejaknya dalam bidang kewartawanan.

“Di belakang saya adalah medan perang di mana parit terbakar, dengan serbuan, artileri dan tembakan,” kata Al Dahdouh sambil menunjuk bangunan yang dikelilingi oleh kepulan asap hitam akibat pengeboman.

Keluarganya adalah antara 7,000 rakyat Palestin – termasuk 3,000 kanak-kanak – yang terbunuh dalam serangan udara Israel sejak pejuang Hamas melakukan serangan ke atas negara itu pada 7 Oktober, kata Kementerian Kesihatan di Gaza.

Lebih 1,400 orang di Israel, kebanyakannya orang awam, terbunuh semasa serangan Hamas, menurut kerajaan Israel. Hamas menahan sekurang-kurangnya 224 tawanan di dalam Gaza, termasuk lelaki, wanita, kanak-kanak dan orang tua.

Kematian ahli keluarga Al Dahdouh menyebabkan kejutan di seluruh dunia. Video dan gambar dia mengenal pasti mereka dikongsi secara meluas di media sosial.

Sejak 7 Oktober, sekurang-kurangnya 24 wartawan telah terbunuh, termasuk 20 rakyat Palestin, tiga warga Israel dan seorang wartawan Lubnan.

Puluhan ribu tentera Israel berkumpul di sepanjang sempadan Gaza pada Jumaat menjelang serangan darat yang dijangka secara meluas. Tentera berkata pasukannya telah melancarkan serangan darat singkat ke tengah Gaza pada Jumaat.

Author

Pilihan Editor