HomeGlobalKapten bola sepak Wild Boars disahkan mati bunuh diri

Kapten bola sepak Wild Boars disahkan mati bunuh diri

LONDON: Kapten pasukan bola sepak remaja Thailand yang diselamatkan dari gua yang dilanda banjir pada 2018 disahkan membunuh diri di sebuah sekolah di United Kingdom (UK) awal tahun ini.

Lapor BBC, Duangpetch Promthep, 17, ditemui tidak sedarkan diri di bilik asrama pelajar di Akademi Bola Sepak Kolej Brooke House di Leicestershire pada 12 Februari lalu, sebelum meninggal dunia di hospital dua hari kemudian.

Koroner Kanan Bandar Leicester dan Selatan Leicestershire, Profesor Catherine Mason merekodkan kesimpulan bunuh diri selepas inkues kematiannya dikeluarkan kelmarin.

“Duangpetch tidak pernah dirujuk ke perkhidmatan kesihatan mental dan tidak diketahui mengapa dia mengambil tindakan yang dia lakukan. Ia tidak dapat diramalkan atau dihalang.

“Siasatan polis tidak menemui bukti penglibatan pihak ketiga atau keadaan yang mencurigakan,” kata Mason.

Selepas kematiannya di UK, keluarga Duangpetch memohon bantuan agar mayatnya dikembalikan ke Thailand namun atas faktor kewangan, proses pembakaran terpaksa dibuat di Leicester.

Bagaimanapun, abunya kemudian dihantar kepada ibu bapanya di Bangkok pada 4 Mac lalu oleh bekas penyerang dan ketua jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan Thailand, Kiatisuk Senamuang yang membantu Duangpetch mendapatkan biasiswa untuk belajar di UK.

Author

Pilihan Editor