KUALA LUMPUR: Penamatan subsidi harga kawalan ayam bermula hari ini tidak akan mempengaruhi kenaikan harga bahan mentah itu pada masa depan.
Ini kerana kata, Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd. Ali, kerajaan telah mengambil kira pelbagai faktor.
Malah katanya, pihak kementerian juga telah mengadakan sesi libat urus dengan pemain industri sebelum keputusan itu dibuat.
“Sebelum keputusan (tamatkan subsidi ayam), sesi libat urus dengan pihak industri sudah dilaksanakan.
“Kita minta mereka memberi jaminan untuk pastikan bukan hanya dari segi bekalan, tetapi harga juga diletakkan pada kadar yang munasabah.
“Alhamdulillah, walaupun sebelum berkuat kuasa (penamatan subsidi) bermula 1 November (hari ini), beberapa pasar raya mengumumkan harga mereka yang jauh lebih rendah berbanding RM9.40 sekilogram,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai jaminan kerajaan selepas melaksanakan pengapungan harga ayam terutama bagi memastikan tidak berlaku kenaikan harga ayam pada masa depan sehingga membebankan rakyat.
Pada masa sama, Armizam turut memaklumkan bahawa KPDN menggerakkan jentera penguatkuasaannya melaksanakan pemantauan di seluruh rangkaian pasar raya, peruncit dan pasar basah bagi mengelakkan kejadian manipulasi harga oleh peniaga.
“Di peringkat KPDN, saya arahkan jentera kita melalui 2,300 penguat kuasa dan 900 pemantau harga untuk buat pemantauan di seluruh peringkat sama ada pasar raya, pasar basah dan kedai runcit untuk melihat impak daripada penamatan subsidi ayam mulai hari ini.
“Saya bersama Timbalan Menteri dan Ketua Setiausaha kementerian akan bergerak untuk buat pemantauan. Kita tahu antara risikonya adalah isu kartel, sebab itu kita nak kuatkuasakan Akta Persaingan bagi menyelesaikan isu berbangkit berkaitan kartel,” katanya. – Kosmo!