SEPANG: Urusan jual beli dan serahan jam tangan Rolex kesayangan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri kepada individu yang membuat bidaan dengan nilai RM135,000 dilakukan dalam satu sesi tertutup hari ini.
Pembida tertinggi dikenali Hamba Allah itu datang dari Pasir Gudang, Johor dan membuat bidaan tujuh minit sebelum tamat tempoh.
Zulkifli dalam sidang media secara siaran langsung di Facebook (Fb) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, berkata, beliau tidak akan mengambil satu sen pun wang hasil jualan jam tangan itu.
“Ini adalah amanah, ini adalah tujuan bila bida (dilakukan).
“Setinggi mana bidaan, dia (pembida) sanggup dapatkannya.
“Kami bercakap dengan linangan air mata sebak yang amat sangat, tujuannya penuh keikhlasan. Dia menyerahkan duit sebanyak itu, Alhamdulillah,” katanya.
Zulkifli berkata, sejumlah RM100,000 daripada hasil jualan jam berkenaan akan diserahkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Muslim Care di Jordan manakala baki RM35,000 lagi kepada lapan NGO di dalam negara yang terpilih.
NGO berkenaan adalah Mercy Malaysia, Global Peace Malaysia, Cinta Gaza, Aqsa Syarif (MyCare), PAS Relief, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Aman Palestin dan MyFundAction.
“Semoga ia beri manfaat kepada semua yang memberi dan menderma, semua akan dapat pahala pada hari akhirat.
“Saya ke Abu Dhabi… ada mesyuarat tahunan bersama Syeikhul Azhar (Ilmuwan dan ulama besar Ahli Sunnah Waljamaah, Al-Imam Al-Akbar Sheikh Prof Dr Mohammad Ahmad Tayyib).
“Oleh kerana dekat dengan Jordan, saya akan ziarah (singgah) dan terus buat serahan di sana. Kita akan serah secepat mungkin, tak simpan.
“Kita akan bawa semuanya serah di Jordan melalui Muslim Care di sana dan sebahagian lagi iaitu RM35,000 kepada Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan lain-lain lagi (NGO),” katanya.
Di akhir siaran langsung itu, Zulkifli turut mengucapkan terima kasih kepada semua terutama rakyat Malaysia yang menyokong usahanya dan tunjukkan solidariti luar biasa.
Zulkifli turut menghargai pemimpin dan semua pihak kerana begitu tegas dalam isu Palestin yang perlu diberi perhatian.
“Terima kasih juga kepada pemberita sama ada televisyen atau akhbar atau media sosial bahkan netizen yang cukup banyak beri ulasan (berkaitan Palestin).
“Setiap orang boleh beri (bantuan) ikut kadar kemampuan. Jika bukan begini (bidaan) mungkin ada cara lain
“Peristiwa (peperangan) bagi natijah baik apabila rakyat Malaysia bersatu padu, bahu membahu dan tolong menolong.
“Semua pemimpin negara termasuk di luar negara yang saya lihat jauh bersemangat jadi marilah kita bersama bersolidariti,” katanya.
Kelmarin, Zulkifli menerusi hantaran di laman sosialnya melelong jam tangan Rolex miliknya yang dihadiahkan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz. – Harian Metro