HomeGlobal'Tiada apa boleh hentikan kami' - Netanyahu mahu terus serang Palestin

‘Tiada apa boleh hentikan kami’ – Netanyahu mahu terus serang Palestin

ANGKA korban rakyat Palestin di Genting Gaza akibat kekejaman rejim pengganas Israel meningkat  lebih 9,000 orang, menurut Kementerian Kesihatan.

Serangan udara rejim Zionis memusnahkan satu lagi blok kediaman Palestin pada Khamis, kali ini di kem pelarian Bureij yang sesak di genting itu.

Jurucakap pertahanan awam di Gaza melaporkan, sebanyak 15 mayat ditemui manakala puluhan lain dikhuathiri turut maut dan cedera di bawah runtuhan bangunan.

Wartawan Palestine TV, Mohammad Abu Hattab terbunuh akibat serangan rejim Zionis ke atas rumahnya di Khan Younis dekat selatan Gaza pada Khamis.

Malah, 11 ahli keluarganya termasuk isteri dan anak lelakinya turut menjadi mangsa korban akibat serangan tersebut.

Meskipun bantahan antarabangsa semakin meningkat dan timbul desakan gencatan senjata, namun Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tetap berdegil mahu meneruskan serangan ke atas Palestin.

Katanya, walaupun kira-kira 16 anggota rejim Zionis terkorban di Gaza, namun Israel sudah pun mencapai langkah kemajuan.

“Kami juga mengalami kekalahan yang menyakitkan, tetapi saya ingin menegaskan satu perkara – tiada apa yang dapat menghalang kami,” katanya seperti dilapor Middle East Eye.

Nyawa rakyat Palestin di Gaza kini tidak hanya terancam, malah rejim Zionis bertindak menyeksa kesihatan mental dan fizikal mereka menerusi sekatan bekalan keperluan asas seperti makanan, air dan elektrik.

 

Author

Pilihan Editor