SEGAMAT: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengkaji keperluan membekukan cuti kakitangannya di seluruh negara sebagai persediaan bagi menghadapi banjir Monsun Timur Laut yang dijangka melanda akhir tahun ini.
Menurut Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa, buat masa ini perkara tersebut belum dilaksanakan kerana masih belum ada keperluan selain kejadian banjir di negara ini masih terkawal.
“Pihak kementerian juga kini telah melakukan persediaan menghadapi bencana banjir dari pelbagai sudut termasuklah fasiliti, ubat-ubatan dan sebagainya.
“Setakat ini kita memantau tapi memang kita sedang bersiap-siaga banjir berlaku bila-bila masa. Saya rasa memang kebiasaannya ada (beku cuti) di mana kita turut peka laporan daripada meteorologi dan sebagainya.
“Jika ada risiko banjir itu memerlukan lebih ramai petugas, mungkin kita terpaksa bekukan cuti namun buat masa ini tiada lagi keputusan muktamad mengenai perkara berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Mini Karnival Madani Afiat Zon Bukit Siput Segamat di Dewan Taman Fajar, Bukit Siput, di sini hari ini.
Tambah Zaliha, pihak KKM juga akan turut sentiasa berwaspada dengan penyediaan makanan semasa banjir kerana air bah berkenaan mudah tercemar dengan bawaan penyakit. – Kosmo