KUALA LUMPUR: Kerajaan mempertimbangkan cadangan bantuan tunai khas secara bulanan kepada isi rumah yang tidak berkemampuan menyertai aktiviti menjana pendapatan atas faktor umur dan kesihatan bagi membolehkan mereka melepasi pendapatan garis kemiskinan (PGK), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, bantuan tunai khas bulanan itu adalah di antara tiga cadangan yang dikemukakan ketika beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata, mesyuarat hari ni juga menerima cadangan supaya semua agensi dan kementerian menyemak serta mengemaskini data untuk mengesahkan jumlah penerima isi rumah miskin tegar yang sudah dibantu dan menjana pendapatan melebihi PGK makanan dalam 2023.
“Semua agensi perlu mengenal pasti isi rumah yang boleh menyertai program dalam tempoh berbaki tiga bulan dan diserapkan dalam program yang ditawarkan mengikut kesesuaian.
“Bantuan tunai khas secara bulan akan dipertimbangkan untuk melepasi PGK makanan bagi isi rumah yang tidak berkemampuan menyertai aktiviti menjana pendapatan (atas faktor umur, kesihatan),” katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat itu hari ini.
Perdana Menteri berkata, mesyuarat turut dimaklumkan mengenai status pelaksanaan dalam usaha menoktahkan miskin tegar serta cabaran-cabaran yang dihadapi.
Katanya, telah banyak usaha dan program-program yang telah dilaksanakan oleh kerajaan dalam usaha membasmi miskin tegar antaranya program terkait bantuan tunai bulanan, naik taraf kediaman, pemberian modal perniagaan, latihan kemahiran dan penjanaan pendapatan.
“Usaha-usaha ini telahpun dilaksanakan oleh pelbagai kementerian dan agensi dalam usaha menarik keluar rakyat dari belengu miskin tegar,” katanya.
Selain mesyuarat membincang hal ehwal menoktahkan kemiskinan, Perdana Menteri juga mendengar perkembangan terkini mata wang ringgit serta membincangkan dua kertas cadangan iaitu penambahbaikan proses belanja pembangunan (DE).
Menurut beliau yang juga Menteri Kewangan, prestasi ringgit dan mata wang serantau lain terus didorong oleh faktor luaran, terutamanya jangkaan bahawa kadar faedah Amerika Syarikat (AS) akan kekal tinggi untuk tempoh yang lebih lama dan faktor geopolitik.
Beliau menjelaskan, bagaimanapun perkembangan mata wang ringgit dijangka tidak akan menjejaskan prospek pertumbuhan ekonomi negara.
“Usaha kerajaan terhadap pembaharuan struktur, termasuk inisiatif menerusi Pelan Induk Perindustrian Baru 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga akan memperkukuhkan daya saing Malaysia.
“Ini akan meningkatkan daya tarikan negara terhadap pelabur asing, seterusnya membantu pengukuhan nilai ringgit secara lebih mampan. Bank Negara Malaysia (BNM) komited dalam usaha membendung kemeruapan yang berlebihan bagi memastikan pasaran pertukaran ringgit kekal teratur.
“Mesyuarat telah meneliti dan mendapati bahawa perbelanjaan pembangunan sebenar semakin mengecil secara relatif setiap tahun, walaupun belanjawan menunjukkan peningkatan besar. Hal ini boleh memberi kesan jangka panjang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Perdana Menteri berkata, mesyuarat turut memberi tumpuan pelaksanaan projek pembangunan yang bermasalah dan mengalami kelewatan pelaksanaan sehingga mengakibat peningkatan kos serta memberi kesan negatif terhadap pertumbuhan ekonomi.
Beliau mendapati penentuan spesifikasi dan penilaian kos projek teknologi, maklumat dan komunikasi (ICT) sukar dilakukan dengan berkesan bahkan proses semakan kos adalah sukar tanpa satu piawai anggaran kos.
Hal ini jelasnya boleh menyebabkan pertindihan kerja yang berulang dan kenaikan kos projek ICT.
“Dalam hal ini, kerajaan akan melaksanakan tindakan segera untuk menambahbaik proses-proses dalam pelaksanaan projek DE seperti pembentukan pasukan rentas kementerian.
“Ia meliputi Kementerian Ekonomi (KE), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Kementerian Kewangan (MOF), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan jabatan-jabatan terbabit untuk menyemak dan menyediakan kerangka penambahbaikan untuk diluluskan secara bersepadu oleh kerajaan.
“Keputusan dasar ke arah desentralisasi dan pemberdayaan pelaksanaan projek dan kawalan peruntukan kepada agensi pelaksana yang diimbangi dengan tadbir urus yang ketat.
“Keputusan dasar ke arah pemusatan (sentralisasi) pelaksanaan projek ICT dan penentuan spesifikasi atau kos di MAMPU untuk mengawal kos ICT dan sebagai persediaan ke arah GovTech,” katanya. – Berita Harian