CYBERJAYA: Rancangan tebatan banjir Sungai Langat Fasa 2 (RTBSLF2) perlu dilaksanakan segera tanpa sebarang alasan, susulan beberapa kawasan di daerah Sepang kerap dilanda bencana banjir.
Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, hal ini kerana Surat Setuju Terima (SST) bagi projek tersebut sudah pun dikeluarkan pada awal bulan lalu.
Kawasan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil seperti Kampung Camperai, Kampung Sri Tanjung, Kampung Jenderam Hilir dan Puspen serta beberapa jalan utama antara yang sudah dinaiki air.
“Saya difahamkan ban rosak sedang dibaiki di Kampung Cemperai dan akan dikukuhkan lagi dengan beg pasir.
“Ia akan lebih tinggi dan kukuh sementara menunggu RTBSLF2. InsyaAllah, kerja-kerja tambahan ketebalan ban Sungai Langat sedang dalam pelaksanaan,” katanya kepada MEDIA VARIASI.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 pada bulan lalu berkata, RTBSLF2 turut tersenarai dalam 33 projek utama tahun depan melibatkan kos keseluruhan RM11.8 bilion.
Anwar berkata, sebanyak RM20 juta disediakan kepada 150 pihak berkuasa tempatan untuk melaksanakan kerja pembaikan parit dan longkang rosak, demi mengurangkan risiko air bertakung dan banjir kilat.
Hujan lebat berpanjangan, Monsun Timur Laut punca banjir
Seperti dimaklumkan Jawatankuasa Bencana Daerah Sepang, Aiman berkata, punca bencana banjir ketika ini disebabkan hujan lebat berpanjangan bawaan angin Monsun Timur Laut, sekali gus memberi impak kepada limpahan air sungai di sekitar daerah itu termasuk Sungai Langat, Sungai Semenyih dan Sungai Labu.
Aiman yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) sebelum ini melaporkan bahawa tempoh angin Monsun Timur Laut adalah bermula 16 Ogos hingga Disember 2023.
Jelas beliau, statistik terkini mendapati, seramai 534 orang daripada 180 keluarga sudah pun dipindahkan ke lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS), yang dibuka sejak 5 November lepas.
PPS tersebut antara lain adalah Dewan Orang Ramai di Kampung Datuk Ahmad Razali yang menempatkan 100 mangsa dari 24 keluarga, Dewan Orang Ramai di Kampung Jenderam Hilir (89 orang dari 20 keluarga) dan Dewan Orang Ramai Taman Gemilang yang menempatkan 49 mangsa dari 15 keluarga.
Sementara itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dengkil pula sudah menempatkan 256 mangsa dari 72 keluarga, manakala Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Changgang menempatkan 40 mangsa dari 10 keluarga.
“Saya dan pasukan saya telah pun membuat lawatan ke kesemua PPS ini bagi memastikan segala keperluan berada dalam keadaan wajar.
“Bahkan, dalam peringkat awal sebelum PPS dibuka, pasukan Pusat Khidmat Parlimen Sepang telah pun menyalurkan bantuan termasuk makanan, minuman dan lain-lain keperluan.
“Saya tegaskan, situasi ini bukanlah perkara baharu, bahkan ada hal yang sudah pun agak rutin dan dapat dijangkakan selari pertukaran musim dan ketibaan angin Monsun Timur Laut,” jelasnya.
Laluan dinaiki air jejaskan pengguna jalan raya
Pada Isnin, persimpangan lampu isyarat Kiwa dari Cyberjaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditutup buat kali kedua akibat banjir.
Justeru, laluan dari Kota Warisan ke KLIA dan Klia ke Bandar Baru Salak Tinggi berdepan kesesakan lalu lintas.
Difahamkan, laluan menghubungkan Bandar Baru Salak Tinggi, KLIA, Nilai dan Dengkil kerap dinaiki air sekiranya hujan lebat.
Memandang serius perkara tersebut, Aiman berkata, ia sekali gus akan menjejaskan kelancaran ramai pengguna jalan raya yang menggunakan laluan berkenaan.
“Saya telah membangkitkan isu ini ke perhatian Jawatankuasa Bencana Daerah Sepang yang turut dianggotai oleh beberapa agensi teknikal seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menerusi mesyuarat yang diadakan sebanyak beberapa kali,” tambahnya.
Dalam pada itu, Aiman berkata, beliau sudah pun memaklumkan perkara berkaitan banjir di daerah itu untuk perhatian kementerian terlibat, khususnya Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.
Pada masa sama, beliau menjemput menteri berkaitan untuk turun padang bagi menyaksikan dan sedia maklum akan situasi banjir di Sepang.
“Saya turut memohon semua pihak berkuasa sama ada di peringkat negeri atau pun persekutuan untuk memberi perhatian kepada keperluan yang telah dimajukan oleh agensi-agensi berkaitan, supaya kita dapat melalui situasi ini dengan lebih kemas dan siaga.
“Cuaca masih muram, keadaan di hadapan mungkin akan lebih mencabar. Kita semua perlu bersama-sama bersatu hati menghadapi segala kebarangkalian.
“Namun, yang pasti saya percaya dengan kerjasama semua di setiap peringkat akan membolehkan kita melalui ujian ini dengan lebih tenang dan tertib,” katanya.