CYBERJAYA: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kini membenarkan para pekerja membuat pembayaran balik pinjaman secara dalam talian.
Dalam satu kenyataan pada Selasa, PTPTN memaklumkan, potongan gaji pekerja itu boleh dilakukan melalui Portal Majikan Online.
PTPTN berkata, perkhidmatan dalam talian itu juga boleh digunakan untuk penabungan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).
Perkhidmatan dalam talian memberi kemudahan platform kepada majikan dengan proses pengesahan dan semakan data yang lebih mudah, dengan proses keseluruhan potongan gaji dilaksanakan secara digital,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid dalam kenyataan sama berkata, Portal Majikan Online merupakan satu agenda pendigitalan ke arah perkhidmatan yang lebih cekap dan efisien.
“Dengan adanya Portal Majikan Online, majikan boleh melakukan transaksi potongan gaji pekerja pada bila-bila masa dengan mudah, cepat dan selamat,” katanya.
Ahmad Dasuki berharap agar majikan dapat membantu pekerja yang merupakan peminjam PTPTN mengambil peluang membuat bayaran balik melalui potongan gaji, untuk menikmati insentif diskaun yang diberikan kerajaan.
“Kerajaan melalui Belanjawan 2024 bersetuju dengan pemberian insentif diskaun 15 peratus untuk bayaran balik pinjaman PTPTN secara potongan gaji bermula 14 Oktober 2023 hingga 31 Mac 2024,” katanya.