HomeBerita'Lampu jalan di Selangor tak menyala sebab kecurian kabel'

‘Lampu jalan di Selangor tak menyala sebab kecurian kabel’

CYBERJAYA: Kecurian kabel mengakibatkan banyak lampu jalan raya di Selangor tidak menyala sekali gus memberi kesan terhadap pengguna jalan raya.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim berkata, jenayah itu berleluasa di seluruh kawasan di negeri itu dengan pemasangan kabel tersebut mengambil tempoh masa yang lama.

“Masalah lampu jalan adalah menggunakan kabel. Apabila kabel dicuri sebab itu banyak tiang namun lampu tiada.

“Sebenarnya setiap jalan sudah ada lampu kerana ini termasuk dalam aspek pembinaan jalan raya.

“Jadi, hendak tampung lampu-lampu ini, kita laksanakan Program Pencahayaan Lampu Jalan Jenis Solar LED di Selangor,” katanya memetik laporan Kosmo hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi menjawab soalan tambahan Sallehen Mukhyi (PN – Sabak) sama ada masalah lampu jalan disebabkan ketiadaan peruntukan atau menunggu giliran untuk pemasangan, pada Selasa.

Tambah Izham, pemasangan lampu jalan solar diod pemancar cahaya (LED) dilaksanakan susulan maklumat daripada pusat khidmat, ahli majlis dan persatuan penduduk.

“Kecurian kabel ini memang masalah besar. Keperluan kita bagi lima tahun sekali adalah memerlukan bajet untuk menggantikan bateri. Itu sahaja diperlukan urusan lampu solar ini,” ujarnya.

Izham turut memaklumkan sebanyak 790 batang tiang lampu solar LED dengan 120 watt dipasang di bawah program pencahayaan lampu itu dengan jumlah kos sebanyak RM5.97 juta.

“Purata pemasangan lengkap bagi sebatang tiang lampu ini adalah RM7,565.

“Kriteria pemilihan lokasi adalah tiada punca bekalan kuasa, kawasan vandalisma dan kerap berlaku kemalangan, simpang terpencil dan di luar kawasan rentis Tenaga Nasional Berhad,” maklumnya.

Author

Pilihan Editor