HomeBeritaProgram I-Kembali beri peluang bekas banduan, OKU, diterima masyarakat

Program I-Kembali beri peluang bekas banduan, OKU, diterima masyarakat

AMPANG: Penjara ibarat kubur kedua, di mana sesiapa yang masuk ke dalamnya ibarat sudah mati.

Mati kerana terputus daripada dunia luar, hilang segala-galanya, anak isteri, saudara dan sahabat, hilang kerja dan tiada siapa yang peduli.

Bagaimana boleh bangkit dalam keadaan sifar dan tiada siapa sudi membantu.

Bekas banduan orang kelainan upaya (OKU) hasil program I-Kembali terharu apabila masyarakat memberi peluang kepada golongan sepertinya meneruskan hidup seperti manusia normal lain.

Program I-Kembali dilancarkan tiga tahun lalu, sudah mencecah kira-kira 3,000 penyertaan membabitkan bekas banduan, OKU, gelandangan, golongan B40, orang diparol dan orang diselia.

Ia hasil kerjasama Jabatan Penjara Malaysia dengan Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali dan Ghullam Development Sdn Bhd Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (PERGAK).

Muhammad Ezzat Saryani, 32, yang juga bekas banduan dan mengidap skizofrenia, berkata belum pernah lagi menjumpai pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti PERGAK bersungguh-sungguh membantu golongan sepertinya supaya benar-benar dapat diterima masyarakat semula.

Sehinggalah katanya, dia diterima semula malah diberi peluang pekerjaan, lebih baik lagi dengan memberi semula peluang pekerjaan kepada rakan senasibnya, melalui program I-Kembali.

“Sebelum jumpa I-Kembali, rakyat tidak sedar masalah saya sebagai OKU, bekas banduan. Masyarakat tidak dapat menerima saya sepenuhnya tetapi selepas menyertai I-Kembali, mereka terima saya dan tidak ada persepsi negatif terhadap saya.

“Kerajaan, NGO lain pun patut sedar, kami bukan senang dapat kerja. Harap dapat terima kami kembali dan beri peluang kepada senasib seperti kami untuk jalani hidup normal seperti orang lain,” katanya.

Katanya ketika ditemui di premis cuci kereta miliknya di Sri Hartamas, menerusi program Advokasi Industri OKU I-Kembali.

Ia lokasi kedua selepas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tasik Selatan.

Terdahulu, Presiden PERGAK, Datuk Seri Siti Murni Sheikh Ahmad hadir memberi sokongan kepada peserta program I-Kembali.

Muhammad Ezzat kini mampu menjadi majikan kepada empat pekerja senasib dengannya memajukan premis berkenaan, melalui program I-Kembali.

Malah, dia berasa gembira dan terharu, apabila ada pihak yang sudi memberi kepercayaan kepada orang sepertinya bekerja.

“Ini yang menaikkan semangat saya, sekali gus saya tidak fikirkan sangat tentang sakit saya,” kata bekas penuntut Teknologi Maklumat di Switzerland yang mengidap penyakit skizofrenia sejak usia 11 tahun itu.

Sementara itu, Seri Murni berkata, pihaknya tidak memaksa mana-mana bekas banduan menyertai program berkenaan melainkan mereka sendiri yang mahu.

“Mereka masuk program tidak ada paksaan, kerana kalau kita paksa mereka, tidak akan jadi apa-apa.

“Mereka nak kenal diri sendiri untuk mengubah diri, kami hanya membimbing. Pada saya, daripada program I-Kembali mereka boleh jadi pekerja, majikan malah kembali memberi peluang pekerjaan kepada mereka daripada program sama,” katanya.

Siti Murni turut terharu apabila perniagaan di kawasan elit boleh menerima golongan ini.

“Kami pilih premis untuk cuci kereta dengan sewa RM5,000 sebulan, tempat tinggal kami sediakan dengan sewa RM1,500.

“Saya terharu kerana ini kawasan elit tetapi mereka menyokong usahawan dari PERGAK ini.

“Pemantauan kami buat dan sediakan e-Wallet, tubuhkan mereka ini syarikat, mereka ada PERKESO, KWSP, bank akaun ada pengesahan majikan untuk membantu mereka peroleh rumah kenderaan sendiri.

“Kami didik mereka untuk bertanggungjawab, ini syarikat mereka buat yang terbaik untuk pastikan ia dapat diteruskan,” katanya.

Author

Pilihan Editor