HomeBeritaKematian banduan di Pengkalan Chepa disiasat, tiada unsur jenayah

Kematian banduan di Pengkalan Chepa disiasat, tiada unsur jenayah

CYBERJAYA: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) akan menjalankan siasatan berhubung kes kematian Orang Dalam Tahanan dalam lokap di Kelantan pada 22 November lalu.

Lelaki warga tempatan berusia 33 tahun itu meninggal dunia ketika ditempatkan sementara dalam Lokap Balai Polis Pengkalan Chepa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.

Pengarah JIPS, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, lelaki berkenaan baru selesai sebutan kes di Mahkamah Majistret Pengkalan Chepa pada 22 November lepas.

Lelaki berkenaan menerima hukuman penjara dua tahun dari tarikh tangkap iaitu 5 Julai lalu atas kesalahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Namun pada pukul 7.42 malam, tahanan terbabit telah mengadu sakit sebelum pihak hospital dihubungi segera untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Azri berkata, Penolong Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa Kelantan telah hadir dan melakukan pemeriksaan sebelum mengesahkan individu itu sudah meninggal dunia.

Menurutnya, proses bedah siasat dijalankan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu pada 23 November lalu, dan hasilnya mendapati tiada sebarang kecederaan berunsurkan jenayah dikesan pada badan tahanan berkenaan.

“Justeru ujian pengesanan Covid-19 turut dijalankan ke atas mayat tahan berkenaan dan keputusan menunjukkan negatif jangkitan.

“Punca kematian belum disahkan dan kes diklasifikasikan Masih Dalam Siasatan sementara menunggu keputusan makmal,” jelasnya.

Dalam kes ini, kata beliau, Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS Bukit Aman akan meneruskan siasatan dari pelbagai sudut, sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada koroner untuk tindakan lanjut.

Author

Pilihan Editor