CYBERJAYA: Perhimpunan Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berlangsung pada Jumaat lalu mengejutkan ahlinya, apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan presiden pada pemilihan parti tahun depan.
Kenyataan itu menyaksikan ahli Bersatu menggesa Muhyiddin menarik semula keputusannya dan kekal bertanding bagi menerajui parti tersebut.
Atas desakan itu, Muhyiddin pada Sabtu membuat pusingan U, apabila memaklumkan beliau akan bertanding jawatan Presiden Bersatu pada pemilihan parti akan datang.
Tampil mengulas, Prof Dr Rusdi Omar menganggap bahawa kekurangan pemimpin yang berpengalaman luas dan berkaliber dalam Bersatu menyebabkan Muhyiddin membuat pusingan U.
Disebabkan itu, penganalisis politik tersebut berpendapat, hanya Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Seri Azmin Ali mampu menggantikan jawatan Muhyiddin ketika ini.
Namun, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa, Bersatu sukar untuk bertahan dalam survival politik pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sekiranya parti itu bertukar kepimpinan.
“Kita lihat ramai sokong Bersatu pada PRN (Pilihan Raya Negeri) lalu, tapi kita ada tempoh lagi tiga hingga empat tahun dan apa-apa sahaja boleh berlaku.
“Sekarang ni kita tengok dalam Bersatu ada pergolakan. Ada yang mula menyokong Perdana Menteri dan sebagainya. Dan mungkin ketika ini ada yang memerlukan Muhyiddin dalam pucuk pimpinan parti,” katanya kepada MEDIA VARIASI.
Bersatu tanpa Muhyiddin
Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik, Prof Madya Dr Jeniri Amir menyifatkan bahawa, zaman Muhyiddin sudah pun berlalu manakala beliau sepatutnya tegas dengan pendirian awal untuk tidak bertanding pada pemilihan akan datang.
Jelas Jeniri, keputusan pusingan U itu juga dilihat bahawa Muhyiddin tidak yakin dengan kepimpinan pelapis sedia ada.
Namun, Jeniri yakin bahawa Bersatu masih mampu bergerak ke hadapan dengan lebih baik tanpa kehadiran Muhyiddin.
Ini kerana, katanya, ramai pemimpin Bersatu masih mampu mengemudi parti itu termasuk Hamzah dan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
“Malah, sudah tentu Azmin juga boleh mengemudinya meskipun beliau tiada jawatan.
“Saya yakin ramai lagi harus diberi peluang untuk menjadi pemimpin pelapis. Mereka tidak dapat membuktikan kepimpinan mereka kalau tidak diberi peluang.
“‘Mana-mana parti adalah sama yang mana, apabila seseorang individu menjadi pemimpin nombor dua atau tiga, mereka tidak mahu dilihat mengatasi presiden,” katanya.