KOTA BHARU: Kawasan sekitar Taman Bendahara, Pengkalan Chepa di sini termasuk Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota ditenggelami banjir sedalam 0.3 meter berikutan hujan lebat sejak petang semalam.
Bagaimanapun, air di kawasan berkenaan surut sepenuhnya kira-kira pukul 9.35 pagi tadi.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Mohamad Ismail berkata, kawasan kampus itu mula ditenggelami banjir pada pukul 12.30 malam tadi.
“Apabila hujan mula pukul 5.40 pagi tadi, air yang dalam kawasan kampus kemudiannya mulai surut 20 minit kemudian.
“Kawasan ini pulih sepenuhnya pukul 9.35 pagi dan semuanya berada terkawal,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohamad memberitahu, serentak dengan itu pihaknya telah mengaktifkan Bilik Gerakan Banjir bertempat di Fakulti Veterinar di Jalan Padang Tembak, Pengkalan Chepa, di sini bermula 21 November lalu.
Katanya, langkah itu sebagai persediaan menghadapi banjir selain memberi maklumat terkini serta bantuan kepada para pelajar dan kakitangan yang terjejas.
“Selain itu, kita turut membuka Bilik Gerakan Banjir di Bachok dan Jeli yang dikendalikan oleh Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) serta Pejabat Keselamatan.
“Pada masa sama, UMK turut mewujudkan pusat pemindahan sementara (PPS) di Bilik Kuliah Fakulti Veterinar Pengkalan Chepa dan Kompleks Akademik di UMK Bachok bagi membolehkan para pelajar serta kakitangan yang terjejas berpindah dengan selamat,” ujarnya.
Mohamad berkata, berpandukan kepada pola hujan yang tidak menentu, warga UMK dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan bersiap siaga dengan sebarang kemungkinan yang bakal berlaku.
Katanya, UMK turut bekerjasama erat dengan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan beberapa lagi agensi bagi memastikan pengurusan bencana dapat diuruskan dengan sebaik mungkin. – Utusan