HomeBeritaLagi lima kes baharu cacar monyet dikesan

Lagi lima kes baharu cacar monyet dikesan

CYBERJAYA: Sebanyak lima kes baharu jangkitan mpox atau cacar monyet dilapor di negara ini bagi tempoh 31 Oktober hingga 29 November lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif wabak itu setakat ini adalah sebanyak sembilan kes.

Namun, katanya, semua kes baharu itu tidak mempunyai hubungkait dengan kes-kes sebelum ini.

Dr. Muhammad Radzi berkata, kes kelima wabak berkenaan disahkan pada 10 November lalu, yang melibatkan seorang lelaki warga tempatan berusia 40 tahun.

Jelasnya, lelaki tersebut terlibat dalam aktiviti berisiko dan menunjukkan gejala demam dan lepuh pada 29 Oktober lalu.

Katanya, kes keenam pula melibatkan seorang lelaki warga tempatan berusia 32 tahun, yang menunjukkan gejala dan lepuh pada 7 November dan disahkan pada 12 November lalu.

Ujarnya lagi, kes ketujuh merupakan kontak rapat kepada kes keenam, yang membabitkan seorang lelaki warga tempatan berumur 35 tahun serta menunjukkan gejala lepuh pada 11 November dan disahkan pada 12 November lalu.

“Kes kelapan merupakan seorang lelaki warga tempatan berumur 26 tahun yang mempunyai sejarah penglibatan dalam aktiviti berisiko. Kes mengalami gejala demam, sakit kepada, sakit otot (myalgia), bengkak kelenjar (lymphadenopathy) dan ruam makulopapular sejak 6 November dan disahkan pada 15 November lalu.

“Kes kesembilan melibatkan seorang lelaki warga tempatan berumur 47 tahun yang terlibat dalam aktiviti berisiko dan menunjukkan gejala demam dan ruam pada 8 November dan disahkan pada 17 November,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dr. Muhammad Radzi berkata, semua individu tersebut yang sedang menjalani isolasi di hospital berada dalam keadaan stabil.

Beliau berkata, pesakit-pesakit berkenaan juga menafikan mempunyai sejarah lawatan ke luar negara dalam tempoh 21 hari sebelum gejala timbul.

“Kesemua kontak bagi kes yang disahkan telah dikenalpasti dan status kesihatan mereka juga sedang dipantau,” katanya.

Justeru, beliau meminta semua pengamal perubatan untuk peka terhadap individu dengan gejala ruam dan lepuh bagi mendapatkan rawatan, terutamanya dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi (key population).

Tambahnya, sejarah risiko kontak rapat dengan individu yang mempunyai gejala jangkitan mpox juga perlu diperolehi.

Katanya lagi, individu yang disyaki terkena jangkitan itu hendaklah dinotifikasi ke Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran menerusi Sistem e-Notifikasi, agar siasatan lanjut serta langkah kawalan dapat dijalankan.

“Untuk maklumat lanjut berkenaan pengurusan kes mpox, pengamal perubatan boleh merujuk Guidelines Mpox Management in Malaysia yang diterbitkan Kementerian Kesihatan (KKM) pada 18 Januari 2023.

“KKM sentiasa memantau perkembangan terkini di dalam negara dan di peringkat antarabangsa berhubung penyakit mpox, serta bekerjasama dengan agensi berkaitan dalam melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan terhadap penyakit mpox di Malaysia,” ujarnya.

Mpox merupakan sejenis jangkitan disebabkan oleh virus mpox dan berlaku melalui sentuhan rapat dengan individu bergejala dan tanda penyakit itu.

Antara gejala mpox adalah demam beserta ruam makulopapular atau ruam lepuh pada muka, tapak tangan, tapak kaki, kemaluan, konjunktiva dan kornea.

Tempoh inkubasi mpox iaitu daripada tarikh individu terdedah kepada jangkitan, sehingga mendapat gejala adalah di antara lima ke 21 hari.

Individu positif jangkitan mpox boleh menjangkiti orang lain sehari sebelum gejala muncul, dan sehingga semua lepuh telah kering serta tanggal sepenuhnya.

Lazimnya, kes mpox akan sembuh sendiri tanpa sebarang rawatan khusus.

Author

Previous article
Next article

Pilihan Editor