GAZA, Palestin: Beribu-ribu mayat syuhada masih berada di bawah runtuhan bangunan yang musnah akibat serangan Israel yang berterusan, lapor pasukan pertahanan awam di Genting Gaza pada Ahad, dengan kekurangan peralatan menghalang proses mengeluarkan mayat para syuhada tersebut.
Dalam satu kenyataan bertulis yang diterbitkan oleh Kementerian Dalam Negeri Gaza, jurucakap pertahanan awam, Mahmoud Basal berkata, tentera Israel telah menyasarkan pasukan mereka di kawasan enklaf itu secara berterusan sejak 7 Oktober.
“Ribuan syuhada masih berada di bawah runtuhan, dan kami tidak boleh mendapatkannya. Terdapat kelemahan yang jelas dan ketara dalam keupayaan dan mekanisme kami. Kami tidak dapat mencapai mayat di bawah runtuhan di utara Genting Gaza,” kata Basal, menggesa sokongan untuk unit pertahanan awam.
Tentera Israel meneruskan pengeboman di Genting Gaza awal Jumaat selepas mengisytiharkan penamatan jeda kemanusiaan selama seminggu dengan kumpulan pejuang Palestin, Hamas.
Lebih 15,200 rakyat Palestin, kebanyakannya kanak-kanak dan wanita, telah terbunuh dalam serangan Israel sejak 7 Okt berikutan serangan rentas sempadan oleh Hamas.
Angka kematian rasmi Israel berjumlah 1,200 orang. – Anadolu