HomePendidikanUM beri peluang murid sekolah B40 rasai pengalaman konvo

UM beri peluang murid sekolah B40 rasai pengalaman konvo

INISIATIF Universiti Malaya (UM) menjayakan sebuah program dikenali sebagai Konvokesyen Cilik baru-baru ini dilihat cukup unik.

Program seumpama itu tidak pernah lagi dilakukan oleh mana-mana universiti awam di negara ini.

Menerusi program itu, seramai 36 murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) 1 Selayang Baru, Batu Caves, Selangor berjaya menjejakkan kaki di Dewan Tunku Canselor UM, sekali gus menerima skrol masing-masing.

Menariknya, program tersebut turut menampilkan perarakan yang melibatkan dekan dan pengurusan tertinggi universiti yang dilakonkan oleh mahasiswa UM daripada pelbagai latar belakang fakulti.

Menurut Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UM, Prof. Madya Ir. Dr. Nahrizul Adib Kadri, Konvokesyen Cilik memperlihatkan pelajar sekolah diraikan seperti seorang graduan universiti dengan memakai topi ‘mortarboard’ dan menerima skrol di atas pentas persis di majlis konvokesyen sebenar.

“Saya bersyukur, program yang julung kali diadakan ini berjaya dilaksanakan walaupun dalam masa begitu singkat.

“Saya sangat berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat termasuk Jabatan Pendaftar, Keselamatan, Fakulti Seni Kreatif dan sukarelawan dalam kalangan mahasiswa UM.

“Walaupun sibuk dengan musim konvokesyen, namun program kemasyarakatan yang berhasrat membina motivasi murid-murid sekolah ini berjaya dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.

Dia yang melakonkan watak Pro Canselor pada program tersebut memaklumkan, mesej utama yang ingin ditekankan kepada murid adalah untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam apa jua bidang diceburi.

“Kejayaan bukan hanya diukur pada kemampuan kita untuk melanjutkan pelajaran.

“Apa yang lebih penting adalah iltizam untuk menjadi insan berguna dan menyumbang kepada negara, agama serta bangsa dalam segenap hidup bermasyarakat,” ujarnya.

Sementara itu, Guru Besar SK 1 Selayang Baru, Mohd. Rizal Rais menzahirkan rasa terharu dan berterima kasih dengan pihak universiti dalam menjayakan program tersebut.

“Meskipun hanya dibuat secara ringkas, namun saya gembira melihat riak wajah anak-anak ini yang sangat teruja menerima gulungan skrol di atas pentas dewan tersohor ini.

“Kebanyakan daripada mereka merupakan anak-anak yatim dan asnaf. Jadi, peluang sebegini pastinya akan meninggalkan impak mendalam kepada anak-anak ini.

“Semoga hubungan kedua-dua belah pihak dapat diteruskan dalam program-program lain pada masa hadapan demi mendekati dan menyantuni anak-anak daripada golongan B40 dan miskin bandar,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Canselor UM, Prof. Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman dalam kenyataan ringkasnya menyatakan keyakinannya bahawa program itu mampu meletakkan UM sebagai peneraju dalam usaha mendekati masyarakat secara konsisten.

“Objektif ini selaras dengan hasrat UM untuk terus mendepani isu-isu kemasyarakatan, terutamanya yang melibatkan generasi masa hadapan daripada golongan memerlukan,” ujarnya.

Program pertama kali dan dilihat berjaya ‘memasyarakatkan’ sebuah istiadat konvokesyen di sebuah universiti awam itu turut mendapat kerjasama dan dijayakan Yayasan Kebajikan Anak-anak Yatim Malaysia. – Kosmo

Authors

Pilihan Editor