PUTRAJAYA: Seorang bekas pengawal keselamatan yang dikenali sebagai “Babun” terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Persekutuan menggantikannya dengan hukuman penjara 33 tahun dan 12 sebatan atas pertuduhan membunuh seorang pelajar perempuan tingkatan lima yang juga kekasihnya, lapan tahun lalu.
Keputusan sebulat suara itu panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd. Diah yang bersidang bersama-sama Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Abu Bakar Jais selepas menggunakan kuasa budi bicara mereka bagi menggantikan hukuman mati terhadap Tarmizi Yaakob, 28, selaku perayu.
Panel itu membenarkan rayuan akhir Tarmizi terhadap hukuman agar mahkamah mengguna pakai Akta Pemansuhan Hukuman Mati 2023 ketika mempertimbang hukuman terhadapnya.
Justeru mahkamah memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tangkapan pada 25 Oktober 2015. Ini bermakna pemuda itu telah menjalani hukuman penjara selama lapan tahun dua bulan.
Pada 28 Mac 2019, Mahkamah Tinggi Georgetown, Pulau Pinang mensabit dan menjatuhkan hukuman mati terhadapnya kerana membunuh mangsa berusia 17 tahun (ketika kejadian) di sebuah pangsapuri di Teluk Kumbar, Pulau Pinang antara pukul 7.30 pagi dan 7.30 malam, pada 25 Oktober 2015.
Bekas pengawal keselamatan di sebuah sekolah rendah di Bayan Lepas itu turut dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan tiga sebatan kerana merogol mangsa di tempat kejadian iaitu rumah keluarga gadis itu pada pukul 7.30 pagi, sebelum membunuhnya.
Gadis itu turut dirogol sebelum dibunuh beberapa hari sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2015. – Kosmo!