HomeBeritaKKD diasing bukan sebab lemah - Fahmi

KKD diasing bukan sebab lemah – Fahmi

KUALA LUMPUR: Fahmi Fadzil menafikan kenyataan segelintir pihak yang mendakwa dirinya gagal melaksanakan tugas sebagai Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), hingga menyebabkan kementerian itu dipisahkan.

Menteri Komunikasi itu turut menafikan dakwaan pengasingan kementerian tersebut dibuat bagi menyelamatkan nyawa politiknya.

Fahmi sebaliknya berkata, keputusan tersebut dibuat menerusi perbincangan bersama pasukan Perdana Menteri, selepas mendapati terdapat keperluan hal ehwal digital ditumpukan dalam satu kementerian.

“Saya dapati ada beberapa aspek dalam ekonomi digital merentasi empat kementerian iaitu syarikat pemula berada di bawah MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi), manakala bidang kemahiran dan mewujudkan kilang-kilang di bawah MDEC (Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia).

“Bagi pelaburan, ia diusahakan MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia) di bawah MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) manakala dari segi pelaporan MyDigital Corp berada di bawah Kementerian Ekonomi,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Jelasnya, terdapat pihak industri meluahkan kegusaran apabila terdapat empat kementerian berbeza yang mengusahakan isu sama.

Katanya, perkara itu disampaikan kepada pasukan Perdana Menteri dan mencadangkan semua agensi tersebut diletakkan bawah satu kementerian yang khusus.

Ujarnya, penelitian melalui dokumen New Industrial Master Plan (NIMP) 2030 menyatakan ekonomi digital menjadi salah satu tiang seri utama pertubuhan ekonomi negara.

“Jadi bukan isu Fahmi Fadzil lemah atau tidak, tetapi ekonomi digital ini terlalu penting. Dijangkakan sumbangan ekonomi digital kepada KDNK menjelang 2025 mencecah 25.5 peratus, satu per empat daripada semua KDNK kita.

“Bagi pihak yang menuduh kelemahan menjadi punca kementerian dipecahkan adalah tidak benar. Isunya sama, ada keperluan untuk memberi fokus kepada beberapa perkara tertentu maka diasingkan,” katanya.

Tambahnya, walaupun rombakan Kabinet melibatkan penambahan kementerian namun jumlah Jemaah Menteri dilantik masih rendah berbanding kerajaan-kerajaan terdahulu.

“.. yang penting, jumlah menteri dan timbalan menteri di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim masih jauh lebih rendah berbanding dengan kerajaan-kerajaan terdahulu.

“Kerajaan sekarang juga masih tidak melantik mana-mana duta bertaraf menteri ke mana-mana wilayah ataupun zon di luar negara seperti yang pernah dilakukan dulu.

“Dilantik dengan gaji, elaun berpuluh ribu tetapi tiada hasil langsung pada waktu itu. Jadi, Ahamdulillah beberapa perkara jauh lebih baik sekarang berbanding dahulu,” katanya.

Sebelum ini, bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dilaporkan mendakwa, langkah kerajaan memisahkan KKD hanya bertujuan ‘menyimpan’ Fahmi.

Khairy berkata, KKD dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) tidak sewajarnya dipisahkan tetapi ia berlaku disebabkan faktor politik.

Author

Pilihan Editor