TULAR di media sosial beberapa kepingan foto perkongsian seorang lelaki memaparkan dia dikenakan caj RM9 bagi sekeping roti canai di sebuah kafe.
Menerusi hantaran di Facebook Hairil Aien, turut kelihatan sajian nasi lemak biasa berharga RM10 serta roti telur RM11.
Berdasarkan resit yang dipapar dalam hantaran itu, kafe berkenaan terletak di sebuah hotel di Genting Highlands, Pahang.
“Roti diawangan berterbangan. Roti 1800 meter,” kongsi lelaki berkenaan pada Selasa.
Menariknya, perkongsian Hairil itu menimbulkan perdebatan dalam kalangan warga net yang tampil dengan pelbagai reaksi.
Ada sebilangan individu beranggapan bahawa harga caj RM9 itu bersesuaian dengan lokasi kafe tersebut kerana, umum mengetahui Genting Highlands adalah salah-satu destinasi pelancongan yang popular di Malaysia.
“Tengok tempat lah. makan di tempat standard macam tu memang la. Mau makan murah pergi kau kedai mamak sana,” tulis netizen.
“Kos nak bawak bahan mentah ke Genting tu yang mahal huhu,” kata seorang lagi netizen.
Dalam pada itu, ada juga yang beranggapan harga tersebut tidak masuk akal dengan harga pasaran semasa.
“Jangan kau fikir tempat, tapi lihatlah harga semasa. Agak melampau harga ya.. Tok nang pergi haji pulang hari ke ni oh?” komen netizen.
“Ingat kedai mamak je mahal.. ada lagi mahal,” seloroh warga net.