SELAMAT Tahun Baharu 2024!
Semoga tahun ini anda dikurniakan rezeki yang melimpah ruah dan semua urusan berjalan lancar!
Lazimnya menjelang tahun baharu, pasti ada antara kita yang akan membuat senarai azam atau ‘to do list’ untuk dipenuhi tahun ini.
Namun, pasti ada juga yang tidak tahu dan buntu apa perkara yang patut diutamakan dalam senarai itu bukan?
Jangan risau, jom ketahui 3 perkara anda patut selitkan dalam senarai ‘priority’ bagi tahun 2024!
- Wujudkan Tabung Kecemasan!
Tak kiralah anda masih bergelar pelajar atau sudah bekerja, pastikan anda mempunyai tabung kecemasan! Ingat ya, tabung kecemasan sewajarnya diasingkan dengan tabung simpanan. Untuk jumlah simpanan, ikut kemampuan anda. Tak kisah sedikit asalkan simpan tiap bulan supaya jika suatu masa anda ditimpa kesusahan, ada juga tabung yang boleh ‘dikorek’.
- Jumpa Doktor!
Soal kesihatan jangan ambil mudah ya! Sebaiknya anda bertemu dengan doktor untuk membuat pemeriksaan Kesihatan anda. Perkara ini termasuklah bahagian gigi supaya kekal sihat dan tidak berkarang! Mungkin ada sebilangan yang membuat pemeriksaan pada waktu ulang tahun kerana mudah diingati tarikh janji temu, tapi jika anda tergolong dalam kalangan ‘jarang-jarang’ bertemu doktor, inilah waktunya! Ingat, mencegah lebih baik daripada mengubati.
- Ubah Gaya Hidup!
Jika tahun sebelum ini anda jenis ‘malas’ nak bersenam, inilah waktunya untuk anda bangkit mengubah gaya hidup! Mungkin, ada yang beranggapan ‘ala, awal-awal je beriya nak pergi joging’, pedulikan suara-suara sedemikian kawan! Untuk mudahkan anda ubah gaya hidup, lakukan sesuatu yang anda minat secara ringkas namun konsisten. Nak seronok lagi, lakukannya bersama orang tersayang!
Sebenarnya, banyak perkara yang boleh disenaraikan anda mengikut keperluan masing-masing. Namun, cukup kami sarankan 3 perkara ini sebagai panduan buat anda yang masih buntu.
Ingat kawan, apapun azam anda pada tahun ini, semoga ia sesuatu yang memberi impak positif dalam kehidupan anda! Selamat Tahun Baharu!