HomeBeritaWaspada hujan lebat di Johor sehingga Ahad - MB

Waspada hujan lebat di Johor sehingga Ahad – MB

JOHOR BAHRU: Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada berikutan hujan lebat dijangka melanda Johor dalam tempoh beberapa hari akan datang.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pihak menerima laporan daripada Jabatan Meteorologi Johor (MET Johor) yang memberi amaran bahawa hujan lebat berterusan dijangka berlaku sehingga Ahad ini.

Beliau berkata, amaran hujan lebat berterusan pada tahap buruk dijangka berlaku di daerah Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

“Manakala amaran hujan berterusan pada tahap waspada dijangka berlaku di Batu Pahat dan Pontian.

“Saya mohon agar seluruh rakyat Johor untuk sentiasa peka dengan sebarang arahan pihak berkuasa, dan terus menjaga keselamatan diri dan keluarga,” katanya menerusi catatan di laman Facebook pada Khamis.

Amaran hujan lebat berterusan di beberapa daerah di Johor. -Foto: FB Onn Hafiz Ghazi

Johor Bahru dan beberapa daerah lain di negeri itu dilanda hujan lebat sejak awal pagi Khamis.

Sementara itu, semakan di Facebook Jabatan Kerja Raya (JKR) Kota Tinggi setakat berita ini ditulis mendapati, air dilaporkan naik di beberapa jalan, dengan hanya kenderaan berat dibenarkan memandu berikutan cuaca buruk.

Antara lokasi terlibat termasuk Jalan Sri Perani berhampiran Ladang Fima, Batu 25 dan Jalan Johor Bahru-Endau, manakala Jalan Kota Tinggi-Mersing masih boleh dilalui semua pengguna.

Author

Pilihan Editor