PUCHONG: eRacing Gran Turismo anjuran Media Variasi (MV e-GT) yang dilancarkan pada September lalu semakin melebarkan sayapnya, menerusi konvensyen EsportsCon Malaysia 2024 yang berlangsung pada Sabtu.
Bertempat di Spacerubix, di sini, perlumbaan permainan video dan simulasi terkenal itu merupakan antara yang bertuah membuka gerai pameran tajaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Esports Integrated (ESI).
Pengasasnya, Ahmad Mohsin Dadameah berkata, kepercayaan itu membolehkan MV e-GT mendekati lebih ramai pelumba baharu untuk menceburi bidang perlumbaan kereta secara dalam talian, tidak kira dari pelbagai usia, jantina mahupun latar belakang.
Di sini, pengunjung berpeluang merasai sendiri pengalaman bertanding dalam MV e-GT menggunakan ‘racing simulator’.
“Alhamdulillah, sambutan di booth kami sangat menggalakkan dan dianggarkan lebih 1,000 pengunjung yang datang dan sertai kami.
“Lebih membanggakan, kanak-kanak seawal usia 8 tahun hingga golongan dewasa berusia 57 tahun teruja untuk sertai MV e-GT ini.
“Malah, kami juga jumpa ramai bakat perempuan yang dilihat tidak kurang hebatnya ketika pemanduan MV e-GT,” katanya.
Ketika ditanya mengenai cabaran bagi memastikan MV e-GT berlangsung dengan lancar, Ahmad Mohsin mengakui, pihaknya berdepan dengan kekurangan bajet dan penaja untuk memberikan yang terbaik buat pengunjung.
Namun, katanya, ia bukanlah penghalang buat gerai MV e-GT menjadi salah satu gerai paling ‘havoc’ dan meriah dengan kunjungan peminat e-sukan.
“Jika kami peroleh lebih banyak sponsors, insya-Allah kami boleh beri lebih terbaik untuk semua,” ujarnya.
Berkongsi mengenai perancangan akan datang, Ahmad Mohsin berkata, pihaknya bakal menubuhkan akademi e-racing menerusi penglibatan rakyat di negara ini.
Menerusi akademi itu, jelasnya, individu dari pelbagai umur, jantina dan latar belakang berbeza akan diajar untuk menjadi pelumba e-sukan bertaraf dunia.
“Insya-Allah, kami akan tubuhkan satu team racing yang boleh bertanding bukan sahaja secara dalam talian, malah dalam dunia nyata.
“Harapan untuk membangunkan MV e-GT ini adalah dengan melahirkan pelumba yang tidak hanya di dalam Malaysia, tetapi di Asia dan dunia Barat,” tambahnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lautan Variasi Media Sdn Bhd (Media Variasi), Hakimi Zuffrida Mohd Zain berkata, beliau turut teruja dengan bilangan kehadiran pengunjung di gerai MV e-GT yang tidak putus-putus sejak dari awal pagi hingga petang.
Menganggap penganjuran acara itu sebagai satu kejayaan, Hakimi berkata, pihaknya merancang untuk membangunkan MV e-GT dengan lebih jauh.
Beliau berkata, ia tidak hanya melibatkan perlumbaan dalam talian, malah, terdapat perancangan untuk menubuhkan akademi sukan khusus untuk e-sukan.
“Namun, cabaran yang saya nampak adalah penerimaan pihak kerajaan bagi mengiktiraf sukan ini.
“Malah, lebih banyak sokongan masih diperlukan dari pihak berwajib,” jelasnya.
Untuk rekod, MV e-GT berjaya mengumpul seramai 15 peserta meskipun baru pertama kali diadakan pada September lalu.
Perlumbaan itu menyaksikan empat trek berbeza yang perlu dilalui pelumba, sebelum diangkat menjadi juara.
Perlumbaan pertama MV e-GT yang berlangsung pada 23 September lalu menyediakan trek Circuit De Spa-Francorchamps dan Circuit De Barcelona-Catalunya.
Pada perlumbaan akhir 30 September lalu, pelumba menggunakan laluan Raceway Laguna Seca dan Nurburgring Nordschleife.
Oktober lalu, peserta dikenali Aqiel Saufi berjaya merangkul kejuaraan musim pertama dengan keseluruhan 32 mata.
Selain gerai MV e-GT, pengunjung EsportsCon Malaysia 2024 turut berpeluang menyaksikan pameran akademik universiti, pertunjukan cosplay, demonstrasi permainan indie, peraduan mini serta cabutan bertuah.
Bukan setakat itu, mereka juga boleh menerokai koleksi peranti teknologi permainan, termasuk sistem konsol serta telefon pintar canggih dan terkini di pasaran.
Tidak ketinggalan, pengunjung berpeluang mengikuti siri perbincangan bersama tetamu jemputan yang memfokuskan topik-topik berkaitan ekosistem e-sukan di negara ini.