PENERBANGAN sebuah pesawat terpaksa ditangguhkan selama tiga jam, gara-gara masalah yang ditimbulkan oleh seorang penumpang dalam kejadian pada bulan lalu.
Difahamkan, penumpang terbabit menuntut tiga tempat duduk kelas pertama, namun dia hanya membuat pembayaran bagi dua tiket kelas pertama manakala satu lagi bagi kelas ekonomi.
Dalam kejadian, lelaki itu bertengkar dengan kru kabin dan penumpang ketika penerbangan dari Beiijing ke Chengdu, di wilayah barat daya Sichuan, China pada 30 Disember.
Menerusi video tular, lelaki itu dilihat dikelilingi penumpang, pramugari dan pengawal keselamatan.
“Berhenti maki hamun saya. Awak semua tiada hak untuk berbuat demikian,” katanya seperti dilapor South China Morning Post.
Apabila salah seorang penumpang lain cuba menunjukkan polisi syarikat penerbangan itu, lelaki tersebut bertambah berang.
Seorang pengawal keselamatan cuba untuk campur tangan dan menenangkan keadaan, namun lelaki itu dilihat sukar untuk dikawal.
“Apa hak awak untuk mengarah saya?” jeritnya.
Tidak berpuas hati, seorang penumpang wanita kembali menjerit semula kepadanya: “Awak sudah membuang masa kami terlalu lama dan kami tidak akan bertolak ansur lagi.”
Perakam insiden itu yang dikenali sebagai Zhao berkata, pergaduhan tersebut bermula pada jam 11 pagi, apabila anak lelaki tersebut yang berusia 2 tahun mulai menangis.
Lelaki terbabit kemudian menuntut supaya kru kabin menaik taraf tempat duduk anaknya yang sepatutnya dari kelas ekonomi ke kelas pertama.
Apabila permintaanya ditolak, lelaki itu sebaliknya menjadi berang.
Menurut Zhao, kru kabin sudah pun beberapa kali menjelaskan dasar syarikat penerbangan itu kepada lelaki itu, namun dia masih berdegil dan menegaskan haknya mendapat keistimewaan.
Tidak beberapa lama kemudian, pihak polis tiba di lokasi dan membawa keluar lelaki itu keluar dari pesawat pada jam 2 petang.
Zhao berkata, insiden itu bukan sahaja menyebabkan masa dibazirkan, malah 300 penumpang yang berada di dalam pesawat terpaksa menempah semula tiket penerbangan mereka.
Pergaduhan di dalam pesawat dilihat berulang kali berlaku, yang mana pada Julai tahun lalu, seorang wanita warga emas bertindak menjerit kepada seorang lelaki yang enggan bertukar tempat duduk dengannya di dalam pesawat Jiangxi Airlines.
Sebulan sebelum itu, seorang pondan di Shanghai menularkan sebuah video memaparkan dirinya didakwa diberi layanan tidak adil oleh pramugari, berikutan kegagalan menggunakan kata nama ganti yang betul.